PETALING JAYA – Insiden tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang digantung dua hari daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mencetuskan reaksi keras daripada sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor.
Susulan insiden tersebut, Armada Bersatu Selangor mengumumkan pelancaran ‘Kempen Demokrasi Mati’ sebagai tanda bantahan terhadap tindakan yang didakwa mengekang suara pembangkang dalam DUN Selangor.
Ketua Armada Selangor, Muhammad Afiq Asyraf Mohd Nardin berkata, tindakan menghalau ADUN pembangkang itu mencerminkan situasi demokrasi yang semakin membimbangkan di negeri itu.
“Kempen ini akan dilaksanakan secara digital serta melalui siri jelajah di beberapa kawasan Parlimen dan DUN di Selangor bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu berkenaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Semalam, ADUN Gombak Setia, Hilman Idham digantung dua hari daripada menghadiri DUN Selangor, menjadikan beliau wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) ketiga yang dikenakan tindakan disiplin.
Terdahulu, dua ADUN PN digantung tiga hari kerana mencabar keputusan speaker menolak usul merujuk ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Mereka adalah ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan ADUN Kuang, Rafiq Abdullah.
Dalam sidang media sama, Muhammad Afiq Asyraf menegaskan, langkah tersebut bertujuan membuka ruang perbincangan awam mengenai peranan semak dan imbang serta kepentingan kebebasan bersuara dalam institusi legislatif negeri.
“Tindakan ini dilihat sebagai tidak demokratik serta mencerminkan sikap berat sebelah yang mencemarkan institusi Dewan Negeri Selangor itu sendiri.
“Kami berpendapat suara pembangkang dalam Dewan telah disekat secara tidak adil melalui penggunaan kuasa Speaker,” katanya lagi.
Malah, katanya, Armada Selangor turut merancang menganjurkan siri wacana yang melibatkan tokoh akademik dan intelektual bagi membincangkan isu berkaitan demokrasi serta cabaran yang dihadapi rakyat di negeri itu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa suara pembangkang seharusnya diberikan ruang sewajarnya dalam Dewan kerana ia merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat.
“Kami berharap usaha ini dapat memberi gambaran yang jelas kepada rakyat mengenai bagaimana amalan demokrasi sedang dilaksanakan di Selangor.
“Imej yang terhasil ketika ini tidak mencerminkan sebuah kerajaan negeri yang sepatutnya memberi ruang seluas-luasnya kepada proses demokrasi, khususnya melalui platform Dewan Negeri Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment