KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menolak sama sekali dakwaan tindakan diambil 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka merupakan usaha ‘tebuk atap’ seperti didakwa Pakatan Harapan (PH).
Menurut satu kenyataan bersama, mereka berpendirian ia dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip.
“Ia bukan tindakan sulit, bukan rundingan pintu belakang dan bukan gerakan merebut kuasa. Ia adalah pendirian politik yang sah apabila keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar (MB) telah hilang,” kata kenyataan itu.
Menurut mereka, UMNO BN tidak mencampuri urusan adat namun apabila tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat telah mencetuskan pertikaian awam dan Exco UMNO BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri maka pihaknya tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetuju dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri.
“Atas sebab itu, tindakan menarik sokongan bukan soal prestasi harian MB semata-mata tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif,” kata kenyataan itu.
UMNO BN Negeri Sembilan berpandangan isu berkaitan adat, institusi dan pentadbiran sewajarnya ditangani dengan penuh kefahaman terhadap konteks negeri itu.
Dalam hal itu, lebih wajar ruang penjelasan utama diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat yang lebih memahami kedudukan adat, perlembagaan dan sensitiviti setempat.
UMNO BN tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan institusi adat dan berpegang kepada undang-undang negeri.
“Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi,” kata kenyataan itu.
Justeru mereka meminta semua pihak termasuk PH supaya tidak meremehkan krisis yang berlaku kepada naratif ‘tebuk atap’ atau perebutan kuasa semata-mata.
Rakyat Negeri Sembilan, kata kenyataan itu, berhak mendapat penjelasan jujur mengenai apa yang berlaku. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment