KUALA LUMPUR – Tiga pemimpin kanan Pas Selangor dikenal pasti mempunyai keupayaan untuk dipilih sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, kata Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.
Beliau berkata, ketiga-tiga tokoh berkenaan bukan sahaja berpengalaman luas malah memiliki rekod kepimpinan, integriti serta keupayaan mentadbir bagi membawa Selangor ke tahap lebih baik.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri merupakan tokoh ilmuwan berwibawa yang mampu menyatukan pelbagai pihak melalui pendekatan kepimpinan berasaskan ilmu dan hikmah.
“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan serta pentadbiran, selain kini memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor dan bekas Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS),” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Mohamed Sukri berkata, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi turut dilihat sebagai calon berpotensi berdasarkan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri serta keupayaannya mendekati rakyat.
Katanya, Ahmad Yunus yang dikenali sebagai ‘doktor rakyat’ pernah berkhidmat sebagai Exco Kanan Kerajaan Selangor dan kini merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahli Parlimen Kuala Langat serta ADUN Sijangkang.
Dalam pada itu, beliau berkata, Datuk Iskandar Abdul Samad pula dikenali sebagai figura berprinsip dengan rekod tadbir urus yang kemas dan teliti.
“Pengalaman beliau sebagai Exco Kanan kerajaan Selangor selama dua penggal membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran negeri, selain kini memegang jawatan Bendahari Pas Pusat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamed Sukri menegaskan pemilihan kepimpinan yang tepat amat penting bagi memastikan PN Selangor terus relevan dan berupaya menawarkan pentadbiran lebih baik kepada rakyat.
“Selangor memerlukan kepimpinan yang bersih, stabil, berwawasan dan mampu menyelesaikan masalah rakyat dengan bijaksana.
“Jika dinilai dari sudut kelayakan, pengalaman serta integriti, ketiga-tiga tokoh ini sememangnya layak berada di barisan hadapan memimpin masa depan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment