KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Negeri Sembilan mendesak semua pihak menghentikan percaturan politik di negeri itu dan mengembalikan fokus kepada pentadbiran negeri serta kebajikan rakyat.
Dalam satu kenyataan, MUDA Negeri Sembilan berkata, rakyat tidak memilih wakil untuk bermain politik kuasa, sebaliknya memilih wakil untuk mentadbir.
Menurutnya, tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun semalam jelas menggugat kestabilan negeri itu.
Ujarnya, ia sekali lagi membuktikan bahawa politik penarikan sokongan terus digunakan sebagai alat tekanan kuasa.
Dalam masa sama, tambahnya, MUDA tidak akan menutup mata terhadap kegagalan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang membiarkan kemelut tersebut berlarutan sehingga menjejaskan tadbir urus negeri.
“Kedua-dua pihak telah gagal menjunjung amanah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Tambahnya, kemelut yang melibatkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sepatutnya ditangani dengan penuh diplomasi, ketelusan dan penghormatan terhadap institusi adat Negeri Sembilan.
Sebaliknya, ujar kenyataan itu, kegagalan rundingan dan ketiadaan penyelesaian tuntas telah membuka ruang kepada percaturan politik yang akhirnya memangsakan rakyat.
Menurutnya, penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam bukti jelas bahawa kepentingan politik telah mengatasi kepentingan rakyat.
“Negeri Sembilan bukan medan tawar-menawar kuasa. Adat Perpatih berdiri atas nilai muafakat dan keluhuran, bukan percaturan politik sempit,” katanya.
Tambahnya, corak yang sama terus berulang di negara ini di mana kestabilan negeri dikorbankan demi kepentingan politik jangka pendek.
“MUDA menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya terus menjadi mangsa kepada kegagalan kedua-dua pihak untuk mentadbir dengan matang dan berintegriti,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment