NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sembilan resolusi Deklarasi Alam Melayu 2026 perkukuh perpaduan ummah

KUALA NERUS – Sebanyak sembilan resolusi utama dimuktamadkan menerusi Deklarasi Alam Melayu 2026 sebagai usaha memperkukuh perpaduan umat Islam serta memartabatkan ketamadunan Islam di rantau ini.

Resolusi berkenaan dibentangkan Setiausaha Himpunan Alam Melayu 2026, Wan Sukairi Wan Abdullah, hasil kesepakatan pemimpin, ulama, sarjana dan tokoh masyarakat dari sembilan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Vietnam.

Menurut beliau, deklarasi itu menegaskan Islam sebagai asas perpaduan yang berteraskan keadilan, kesederhanaan dan kebenaran bagi menjamin kesejahteraan sejagat.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar pemimpin, parti politik dan pertubuhan Islam bersatu bagi memastikan kekuatan politik umat Islam terus terpelihara, selain menekankan kepentingan melantik pemimpin yang bertakwa, berintegriti dan berwibawa.

Berucap pada program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 di Kuala Nerus, Wan Sukairi turut menyentuh keperluan memperbetulkan semula naratif sejarah peradaban Islam di Alam Melayu.

Katanya, usaha itu termasuk menilai semula silibus pendidikan bagi memperkukuh jati diri, di samping memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Deklarasi tersebut juga menyokong Risalah Amman yang mengiktiraf lapan mazhab sebagai sebahagian daripada ahli kiblat, sekali gus membantu merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan umat Islam.

Dari sudut ekonomi, beliau menegaskan kepentingan memperluas rangkaian perniagaan dan rantaian bekalan produk Muslim bagi memperkukuh ekonomi ummah.

“Kita juga menggesa umat Islam mengutamakan produk dan perniagaan Muslim sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa ekonomi bersama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, persoalan turut dibangkitkan mengenai sejauh mana keseriusan pihak kerajaan dalam mempertahankan kesucian agama Islam, khususnya apabila timbul isu penghinaan terhadap Islam yang dilihat ditangani secara lunak, berbanding tindakan tegas terhadap pihak lain.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kesatuan ummah bukan sahaja penting dari sudut politik dan ekonomi, malah perlu disertai ketegasan dalam mempertahankan maruah agama daripada sebarang bentuk penghinaan atau provokasi.

Bagi memastikan pelaksanaan deklarasi itu berjalan lancar, sebuah Sekretariat Alam Melayu akan ditubuhkan melibatkan tokoh dari pelbagai negara, dengan Kuala Lumpur sebagai pusat penyelaras.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo