KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan serangan terhadap beliau yang diatur bertali arus termasuk oleh Naib Presiden, Datuk Seri R. Ramanan akan memakan diri.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Pandan berkenaan, lebih banyak Ramanan membuka mulut, sebenarnya adalah lebih bagus.
Dalam masa sama, beliau berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang secara terbuka menyanggah Ramanan pada Konvensyen PKR Johor semalam.
Katanya, tindakan Hassan itu menunjukkan masih ada lagi beberapa orang di dalam PKR sekarang yang faham tentang adab, jasa, sumbangan, perjuangan dan pengorbanan.
Malah, ujarnya, rakyat dapat menonton sendiri `bongkaknya’ Ramanan sehingga boleh menasihati secara terbuka seorang Perdana Menteri supaya jangan salah pilih Menteri Ekonomi.
“Maknanya, sebelum ini Perdana Menteri telah buat silap kerana memilih saya menjadi Menteri Ekonomi.
“Dia mungkin rasa itu cuit manja dia dengan Anwar Ibrahim, tetapi orang ramai boleh menilai bahawa adab kebiasaannya bukan begitu.
“Ramanan berkelakuan demikian kerana dia cukup yakin pengaruhnya dengan Anwar Ibrahim.
“Dan saya menjadi saksi kepada semua itu,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya malam ini.
Rafizi turut membuka semula kisah pada hari-hari terakhir sebelum pengumuman calon untuk PRU-15, yang membabitkan hanya satu kerusi yang tidak ada persetujuan antara beliau dengan Anwar iaitu iaitu Parlimen Sungai Buloh.
Imbaunya, beliau ketika itu tetap dengan pendirian bahawa antara dua nama iaitu Sivarasa Rasiah (penyandang ketika itu) dan Ramanan, Sivarasa adalah calon yang lebih baik dari segala aspek.
Sementelah, ujarnya, Ramanan berkeras pada ketika itu tidak mahu mengisytiharkan harta, sedangkan calon-calon lain telah menghantar pengisytiharan harta.
Keadaan itu, tambahnya, berlanjutan hingga ke hari pengumuman calon dan tidak selesai sehingga pukul 6 petang, sedangkan majlis akan bermula pukul 8 malam.
Dakwanya, beliau tetap tidak berganjak dan menyatakan keputusan Jawatankuasa Calon bahawa Sivarasa adalah calon yang lebih sesuai dari segenap aspek.
“Akhirnya, Dato’ Seri Anwar, dalam keadaan kami sama-sama duduk, memegang lutut saya dan merayu untuk lepaskan Ramanan jadi calon.
“Saya lihat matanya ada genangan air mata.
“Jadi saya sebut kepada beliau:
“You ada the final say. I’ve done everything I can, tapi kalau you berkeras, that’s your decision. You don’t have to plead macam ni”
“Jawapan Dato’ Seri Anwar:
“Saya tak mahulah nanti you buat kecoh”
“Saya jawab balik:
“Akhirnya it’s your decision. Saya hanya minta Dato’ Seri janji that this is as far as Ramanan will go in PKR and politics. You will not appoint him further in the party andkalau menang jadi kerajaan, you will not appoint him into the government.”
“Dato’ Seri Anwar nampak lega dan bersetuju dengan janji-janji itu.
“Malam itu, oleh kerana keputusan hanya dicapai di saat akhir, bila nama Ramanan diumumkan sebagai calon PKR di Sungai Buloh, gambarnya masih gambar Sivarasa.
“Sebab kami tak sempat tukar gambar Ramanan di saat akhir,” tulisnya.
Bagaimanapun, tambah Rafizi, selepas menjadi kerajaan, walaupun semasa pembentukan kerajaan Ramanan tidak dilantik, namun apabila ada saja rombakan pertama, Ramanan terus dilantik menjadi Timbalan Menteri.
Ketika itu, katanya, beliau mula tahu ada hubungan istimewa di antara Anwar dengan Ramanan, sehingga Perdana Menteri sanggup melanggar janjinya sendiri kepada beliau yang disaksikan oleh seorang lagi rakan baik mereka berdua.
“Saya juga telah sedar pun pada ketika itu bahawa banyak perkara yang kita mulanya ingat tidak menjadi titik perbezaan – contohnya soal Azam Baki, SPRM dan lain-lain – akan terus bermasalah, kerana cerita-cerita mengenai Farhash, Ramanan dan lain-lain mula kedengaran.
“Kalau saya kongsi perkara ini sebelum Konvensyen PKR Johor, orang tidak percaya.
“Sekarang, saya harap orang ramai boleh nilai sendiri bahawa Dato’ Seri Anwar sudah terikat dengan beberapa orang seperti Ramanan ini,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment