BANGI, 12 SYAWAL – Seramai 41 saksi dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan isu ‘mafia korporat’ membabitkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong.
Bagaimanapun, Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid, berkata tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam senarai saksi berkenaan.
“Siasatan kes ini masih berjalan. Seramai 41 saksi telah dipanggil setakat ini. Tiada pun pegawai SPRM dalam kalangan saksi-saksi tersebut,” katanya, hari ini.
Memberitahu Sinar Harian, Fazlisyam berkata, kes ini melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara seperti membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian.
Menurutnya, siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat secara langsung, mahu pun tidak langsung dalam menguruskan wang yang berasal dari aktiviti haram.
Isnin lalu, Fazlisyam mengesahkan Victor Chin antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Op Viking dari 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari lepas.
Victor Chin ditahan pada Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis. Namun ahli perniagaan itu mungkin dipanggil semula sekiranya perlu.
Menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan (RM64,246,417) dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment