NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga diesel di Semenanjung melepasi RM6 seliter



PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.

Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya, RM5.52 seliter.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan, krisis berkenaan telah mendorong lonjakan harga minyak mentah Brent global melebihi 40 peratus sehingga melepasi paras AS$100 setong.

"Lebih kritikal, harga minyak yang diproses bagi petrol dan diesel juga melambung tinggi masing-masing pada harga AS$150 setong dan AS$250 setong, sekali gus memberi tekanan kepada harga jualan runcit bagi kedua-dua produk berkenaan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurut MoF, harga runcit bagi RON 97 menurun sebanyak 2 sen menjadikannya pada kadar baharu, RM4.95 seliter berbanding sebelum ini, RM5.15.

Jelas kenyataan itu, harga runcit RON95 tanpa subsidi kekal pada paras RM3.87 seliter.

"Kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu seperti seperti RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (RM2.05) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (RM2.15) bagi setiap liter," jelas MoF.

Selain itu had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian, ia dihadkan sehingga 50 liter setiap pembelian dan kenderaan pengangkutan darat awam serta barangan tidak melebihi tiga tan pula dibenar sehingga 100 liter pada setiap pembelian.

"Kenderaan yang melebihi tiga tan dibenar membuat pembelian sehingga 150 liter setiap kali," kata kenyataan itu.

Sebagai langkah interim juga, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus dan memanfaatkan rakyat dengan mengambil kira perkembangan semasa krisis tenaga global serta implikasi terhadap pasaran tenaga global.

"Kerajaan komited untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global.

"Sejak krisis Asia Barat meletus, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh tiga minggu berturut-turut," jelas MoF.

Justeru, MoF berkata, usaha mengekalkan harga petroleum bersubsidi kepada rakyat serta sektor tertentu akan terus diperkukuh bagi membendung kenaikan harga barangan dan melindungi kesejahteraan rakyat.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo