NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda Pas Selangor desak perketat lesen, hadkan akses penjualan arak



SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan agar tidak hanya bergantung kepada hukuman denda, sebaliknya mengambil tindakan lebih drastik dengan mengehadkan akses penjualan arak bagi menangani isu pemandu mabuk yang kian meruncing.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr. Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, meskipun pihaknya menyokong penuh cadangan pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), namun langkah mewajibkan bayaran ganti rugi kepada keluarga mangsa dilihat masih belum mencukupi.

Beliau menegaskan bahawa hukuman bersifat denda semata-mata tidak mampu memberi pengajaran yang setimpal berbanding nilai nyawa manusia yang melayang akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol.

"Pindaan ini bukanlah solusi tuntas kerana hukuman denda belum cukup menginsafkan, malah ia tidak setimpal dengan risiko kehilangan nyawa yang dipertaruhkan rakyat," ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dr. Aubidullah turut menarik perhatian mengenai trend normalisasi budaya arak yang dipromosikan secara terbuka dalam pelbagai acara kemasyarakatan.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap sikap kerajaan yang seolah-olah mengambil mudah isu berkenaan, sambil memetik insiden pembabitan syarikat kilang arak dalam tajaan sebuah sekolah di Selangor sebelum ini sebagai contoh kegagalan mempertahankan nilai masyarakat.

"Situasi sebegini tidak boleh dianggap isu terpencil, sebaliknya ia mencerminkan kegagalan dalam mempertahankan batas nilai kehidupan bermasyarakat," ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan khususnya Selangor agar memperketatkan penguatkuasaan lesen penjualan dan promosi arak, terutama di kawasan sensitif seperti berhampiran sekolah dan institusi pendidikan.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan agar penjualan arak dikawal ketat sebagaimana peraturan yang dikenakan terhadap penjualan rokok, memandangkan alkohol menjadi punca utama kepada pelbagai masalah sosial dan tragedi di jalan raya.

Tegasnya, undang-undang yang keras tidak akan membuahkan hasil sekiranya punca utama iaitu akses mudah kepada alkohol terus dibiarkan tanpa kawalan pihak berkuasa.

"Jangan ada mana-mana pihak, apatah lagi individu berpengaruh atau ahli politik yang cuba menormalisasikan budaya yang jelas membawa banyak mudarat ini.

"Sudah tiba masanya tindakan berani diambil demi keselamatan dan masa depan masyarakat secara menyeluruh," ujarnya lagi.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo