NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ideas persoalan ketiadaan RUU Pendanaan Politik dalam kerangka reformasi Madani



SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mempersoalkan ketiadaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dalam Kerangka Akauntabiliti Madani Fasa Kedua yang tidak patut dianggap isu sampingan, sebaliknya teras kepada integriti tadbir urus demokrasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aira Azhari berkata, tanpa peraturan jelas yang mengawal sumbangan politik serta perbelanjaan kempen dan pendedahan, reformasi institusi itu berisiko digugat oleh ketidakjelasan berterusan dalam cara kuasa politik didana mahupun dilaksanakan.

Walaupun terdapat komitmen awam yang berulang oleh kerajaan, menurut Aira, reformasi pendanaan politik masih tidak dimasukkan dalam fasa semasa kerangka tersebut.

Beliau berpendapat, belum ada garis masa perundangan yang jelas, draf RUU mahupun petunjuk tentang bila ia bakal dibentangkan.

"Corak komitmen tanpa pelaksanaan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap pergerakan dan kedalaman agenda reformasi kerajaan.

“Fasa Kedua mencerminkan pergerakan dalam reformasi institusi yang lama tertangguh, khususnya berkaitan kebertanggungjawaban dan kedaulatan undang-undang.

"Namun, pengabaian yang ketara terhadap RUU Pendanaan Politik tidak boleh pandang enteng. Walaupun kerangka ini menyediakan garis masa sehingga Ogos 2026 dengan empat bulan lagi berbaki tahun ini, apa jaminan yang kita ada bahawa RUU bakal dibentangkan pada ketika itu?” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, jelas beliau, Ideas menyambut baik inisiatif yang diumumkan termasuk cadangan RUU Ombudsman Malaysia, perundangan kebebasan maklumat, pindaan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta penambahbaikan perlindungan pemberi maklumat.

Ia kerana pada hematnya, hal tersebut dilihat langkah penting ke arah memperkukuh kebertanggungjawaban, ketelusan dan kedaulatan undang-undang negara.

"Ideas secara konsisten terlibat dalam sesi libat urus, perbincangan dasar dan usaha advokasi berkaitan reformasi pendanaan politik serta menerima pelbagai jaminan lisan mengenai pengenalannya.

"Kami juga telah menyertai kajian persepsi awam mengenai Pendanaan Politik di Malaysia diterajui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dibiayai Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) yang menghasilkan gesaan awam agar RUU tersebut dibentangkan.

"Ini kerana kami bimbang terdapat jurang antara komitmen yang dinyatakan dan pelaksanaan dasar sebenar,” ujar Aira.

Justeru, beliau berpandangan, terdapat keperluan untuk meningkatkan penyertaan awam dalam proses reformasi sambil menyifatkan ia tidak boleh dilakukan secara terpilih.

"Kerangka kebertanggungjawaban yang berwibawa memerlukan keazaman politik untuk melaksanakan reformasi walaupun berdepan cabaran.

"RUU Pendanaan politik merupakan tonggak asas kepada kerangka tersebut. Tanpanya, usaha reformasi yang lebih luas oleh kerajaan berisiko kehilangan kewibawaan dan impak," tegasnya lagi.

Tahun lalu, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu sukar untuk meluluskan RUU Pendanaan Politik sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana maklum balas lanjut masih diperlukan.

Pada Januari, timbalannya, M Kulasegaran berkata, kerajaan sedang menunggu hasil kajian persepsi awam yang dijalankan oleh penyelidik UIAM sebelum memuktamadkan RUU berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, pelbagai cadangan dikumpulkan hasil 20 sesi libat urus dengan dewan perniagaan, masyarakat sivil dan ahli akademik yang akan digabungkan bagi membentuk parameter RUU itu.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo