KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu segera menangani kebimbangan rakyat dan memberi tumpuan kepada penyelesaian gangguan perkhidmatan sistem rel (LRT, MRT, Monorel) yang kini dilihat semakin kerap berlaku.
Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen berkata, pengguna harian pengangkutan awam itu kecewa dengan penjelasan yang berulang-ulang dan mengharapkan keputusan konkrit, bukannya pelbagai alasan.
“Mengapa menteri sekarang seolah-olah membayangkan perkara ini terlalu sukar untuk dicapai?
“Di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), pembangunan dan penambahbaikan pengangkutan awam adalah keutamaan dan diletakkan sebagai agenda utama di bawah Pelan Transformasi Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jie Sen turut mempersoalkan mengenai pencapaian di bawah kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pentadbiran kerajaan sekarang di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ketiadaan kesinambungan pelan yang telah sedia ada.
“Mengapa tiada kesinambungan dalam rancangan yang sedia ada dan jelas memberi manfaat kepada rakyat serta negara?
“Adakah ini disebabkan oleh keengganan untuk mengiktiraf sumbangan BN atau kurangnya kemahuan politik untuk melaksanakannya?
“Lebih penting, adakah Kementerian Pengangkutan di bawah kepimpinan DAP gagal memberikan hala tuju yang diperlukan untuk menambah baik dan memodenkan sistem pengangkutan awam negara?” soalnya.
Katanya lagi, peluasan rangkaian rel dan ketersambungan yang lebih baik adalah pemacu kritikal pertumbuhan ekonomi serta teras kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Terdahulu, Anthony Loke mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad supaya memberi keutamaan penuh dalam menangani isu teknikal yang kerap mengganggu operasi perkhidmatan rel di negara ini.
Februari lalu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah diarahkan untuk menyiasat insiden gangguan berulang dialami perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada awal Ramadan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment