JOHOR BAHRU – Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda menegur Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggunakan perkataan ‘bodoh’ semasa membidas cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor berkata, perkataan tersebut tidak sewajarnya digunakan apatah lagi Dr Muhamad Akmal dianggap sebagai ikon anak muda.
“Cantik betul bahasa kamu. Inikah konon ikon anak muda UMNO. Menyebut perkataan bodoh tanpa segan ataupun silu. Mungkin kamu lupa waktu (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin) umum darurat dan tutup Parlimen ketika itu parti kamu duduk bersama dalam kerajaan tebuk atap itu.
“Dua menteri kanan di bawah Muhyiddin itu, Naib Presiden parti kamu. Kamu yang bodoh atau siapa yang bodoh,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadhli Umar mendakwa, lebih teruk, semasa terbongkar segala kisah kleptokrasi yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO, Datuk Seri Najib Razak, tiada perintah darurat dikeluarkan.
“Ya memang bukan darurat yang diumum tapi apa saja tindakan intimidasi yang tidak dibuat bagi mengekalkan kuasa?
“Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditukar, Peguam Negara ditukar, Gabenor Bank Negara ditukar, parti lawan kamu dihenyak dan dilarang untuk menggunakan logo parti sendiri, bahkan Timbalan Presiden kamu sendiri kamu tukar dan buang.
“Maka yang bodoh itu kamu atau siapa? Akmal, Akmal, jangan cepat bodohkan orang lain jika kamu sendiri tak mampu fikir,” bidasnya lagi.
Semalam Dr Muhamad Akmal membidas cadangan Poay Tiong yang mahu mengisytiharkan darurat ekoran krisis ekonomi yang melanda negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan mempersoalkan rasional di sebalik cadangan tersebut memandangkan krisis ekonomi bukan perkara baharu dalam sejarah pentadbiran negara.
Beliau menyimpulkan jika benar kerajaan sudah buntu sehingga memerlukan darurat, maka rakyat mempunyai pilihan yang lebih tepat untuk dilakukan.
“Maka yang perlu rakyat isytihar adalah humban kamu dari menjadi kerajaan. Bodoh!!!” tulis Dr Muhamad Akmal dalam satu hantaran menerusi Facebook semalam.
Terdahulu, Poay Tiong menerusi sebuah portal berita mencadangkan agar Kerajaan Negeri Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat sebagai langkah menangguhkan pilihan raya negeri.
Beliau berkata, pada ketika ini, keadaan negara dlihat tidak stabil kerana dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment