JOHOR BAHRU – Pas Johor mencadangkan lima langkah strategik susulan penamatan aplikasi MBJB Spot dan peralihan sepenuhnya kepada sistem Parkmax@Johor bermula 1 Mei ini.
Timbalan Pesuruhjayanya, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, pertamanya dengan penyatuan sistem parkir di peringkat negeri dan menggunakan satu aplikasi tunggal bagi seluruh Johor bertujuan mengurangkan kekeliruan pengguna.
“Kedua adalah mekanisme pemindahan atau pemulangan baki kredit daripada aplikasi sebelum ini. Langkah ini penting bagi mengekalkan kepercayaan pengguna.
“Ketiga pula melakukan integrasi dengan platform pembayaran sedia ada seperti e-dompet utama bagi meningkatkan kemudahan dan aksesibiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi cadangan keempat adalah penambahbaikan sistem penguatkuasaan termasuk pengesahan pembayaran secara masa nyata bagi mengelakkan saman tidak wajar.
Katanya, kelima pula kempen komunikasi yang lebih jelas dan menyeluruh bagi memastikan pengguna memahami perubahan yang dilaksanakan.
Pihaknya pada masa sama menyambut baik pengumuman Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengenai pertukaran tersebut yang dilihat sebagai satu lagi langkah ke arah pendigitalan perkhidmatan bandar.
Namun. katanya, di sebalik hasrat memperkemas sistem parkir, reaksi pengguna dalam media sosial menunjukkan bahawa langkah itu turut menimbulkan kebimbangan dari sudut pelaksanaan dan pengalaman pengguna.
Katanya, menurut notis rasmi MBJB, penggunaan aplikasi MBJB Spot akan ditamatkan pada 30 April ini, dan semua transaksi parkir akan dikendalikan melalui sistem baharu, Parkmax@Johor.
Jelasnya, pengguna turut dinasihatkan untuk menghabiskan baki kredit dalam aplikasi lama sebelum tarikh tersebut, manakala muat turun aplikasi baharu boleh dibuat melalui platform digital utama.
Secara dasar. katanya, langkah berkenaan selari dengan usaha memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih tersusun dan bersepadu.
“Tinjauan terhadap maklum balas pengguna mendapati beberapa isu utama masih berulang, antaranya kekeliruan antara aplikasi berbeza bagi kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Aduan pembayaran telah dibuat tetapi saman tetap dikeluarkan selain kesukaran menyesuaikan diri dengan aplikasi baharu,” katanya.
Sentimen itu, ujarnya, menunjukkan bahawa cabaran utama bukan sekadar pertukaran aplikasi, tetapi keberkesanan keseluruhan ekosistem parkir digital.
Beliau berpendapat, antara kebimbangan paling ketara ialah isu baki kredit pengguna dalam aplikasi lama.
Walaupun pengguna diminta menghabiskan baki tersebut sebelum tarikh tamat, ketiadaan mekanisme pemulangan atau pemindahan baki boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap pengurusan kewangan pengguna, katanya.
“Ini merupakan satu kezaliman kepada pengguna yang bukan sedikit jumlahnya. Selain itu, isu teknikal seperti ketidakselarasan sistem yang menyebabkan pengguna disaman walaupun telah membuat bayaran terus menjadi perhatian,” katanya.
Jelasnya, dalam konteks ini, kecekapan sistem penguatkuasaan dan integrasi data menjadi faktor kritikal.
Beliau memberitahu, masalah asas yang sering dibangkitkan ialah kewujudan pelbagai aplikasi parkir berbeza antara kawasan PBT di negeri Johor.
Keadaan itu ujarnya, bukan sahaja menyukarkan pengguna, malah menjejaskan matlamat pendigitalan yang sepatutnya memudahkan urusan harian rakyat.
Tegasnya, tanpa penyelarasan menyeluruh, pertukaran daripada satu aplikasi ke aplikasi lain berisiko dilihat sebagai penyelesaian sementara, bukannya reformasi sistematik.
“Walaupun menerima kritikan, sistem Parkmax bukan tanpa kelebihan. Pengalaman di kawasan lain menunjukkan peningkatan penggunaan dan penerimaan terhadap pembayaran digital, khususnya apabila sistem berfungsi dengan stabil dan mesra pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, kata Mohd Mazri, peralihan tersebut menjadi peluang memperkukuh sistem parkir sekiranya penambahbaikan dilaksanakan secara menyeluruh.
Keadaan itu dakwanya, bukan sahaja menyukarkan pengguna, malah menjejaskan matlamat pendigitalan yang sepatutnya memudahkan urusan harian rakyat. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment