NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kor Ming gesa ahli DAP kekal rendah diri sempena ulang tahun ke-60 parti



BUKIT MERTAJAM – Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming hari ini menyeru semua ahli parti supaya terus berpegang teguh kepada komitmen terhadap rakyat dengan kekal “merendah diri, dahagakan kejayaan dan fokus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat” sempena ulang tahun ke-60 parti itu.

Nga dalam ucapannya pada majlis peringatan di sini hari ini mengimbas perjalanan enam dekad DAP dengan menyatakan parti itu telah berkembang menjadi satu kuasa politik yang matang, bertanggungjawab dan berpandangan jauh.

“Daripada hari-hari awal kami sebagai pembangkang hingga peranan kami dalam kerajaan hari ini… misi utama kami kekal tidak berubah, iaitu mempertahankan demokrasi, keadilan, tadbir urus baik dan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Nga berkata kekuatan DAP terletak pada identitinya sebagai parti berbilang kaum yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika menyoroti peralihan parti daripada advokasi kepada tadbir urus, turut berkongsi pencapaian utama kementerian di bawah kepimpinannya.

Menurut Nga, Malaysia merekodkan jumlah transaksi hartanah tertinggi dalam sejarah sebanyak RM241.9 bilion, selain kelulusan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Beliau turut menekankan kejayaan pelaksanaan 15,083 projek infrastruktur di seluruh negara, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menambah baik kemudahan asas di semua peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, kami berjaya memulihkan 1,501 projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara, memulihkan keyakinan dalam kalangan 180,000 pembeli rumah serta memastikan projek perumahan terbengkalai kembali berada di landasan.

“Ini adalah hasil nyata yang mencerminkan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian sebenar untuk rakyat,” katanya. – BERNAMA








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo