NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Diketepi parti, Rafizi seolah-olah kena kifarah Langkah Kajang’ – Faekah



KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin mendakwa Datuk Seri Rafizi Ramli kini berdepan situasi seolah-olah sama seperti yang pernah dilalui bekas Menteri Besar Selangor itu apabila diketepikan parti pada 2014.

Menurut Faekah, keadaan tersebut dilihat seakan-akan ‘kifarah’ susulan peranan Rafizi sebagai arkitek strategi ‘Langkah Kajang’ lebih sedekad lalu.

Beliau berkata, walaupun Rafizi tidak mengakui sebarang kesilapan, perkembangan semasa memperlihatkan situasi yang menyerupai pengalaman dilalui Allahyarham Khalid.

“Langkah Kajang memang tidak sepatutnya berlaku, namun ia tidak akan terjadi tanpa restu kepimpinan tertinggi serta jika kepimpinan bersikap adil dan jujur.


“Sebagai individu yang terlibat dalam strategi itu, beliau kini dilihat menerima kesan daripada tindakan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Faekah berkata, episod tersebut turut mengubah pandangannya terhadap Rafizi dan disifatkan sebagai titik tolak kepada pengkhianatan terhadap prinsip keadilan yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak penubuhannya.


Menurutnya, peristiwa berkenaan juga antara detik penting yang memberi kesan besar kepada landskap politik dan pentadbiran negeri Selangor.

Dalam pada itu, beliau turut mengimbas pemilihan parti pada 2010 yang menurutnya menyaksikan Allahyarham Khalid didakwa menerima tekanan untuk menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden.

Dakwanya, perkara itu bagi memberi laluan kepada calon lain, sekali gus menunjukkan wujudnya campur tangan dalam percaturan dalaman parti.


“Saya nyatakan perkara ini sebagai gambaran bahawa campur tangan dalam parti bukan sesuatu yang baharu.


“Apa yang berlaku mungkin berulang dalam bentuk berbeza, dan tidak mustahil melibatkan pemimpin lain pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas dakwaan terhadap prestasi Rafizi, Faekah bagaimanapun menegaskan penilaian terhadap seseorang pemimpin tidak boleh dibuat secara terasing, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks kepimpinan kerajaan secara keseluruhan.

Tambah beliau, masa depan Rafizi tidak semestinya bergantung kepada kedudukannya dalam parti, sebaliknya ditentukan oleh pendirian dan langkah yang akan diambil dalam landskap politik semasa.

“Segalanya bergantung kepada keputusan beliau selepas ini, sama ada kekal dengan prinsip atau sebaliknya. Buat masa ini, saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” ujarnya.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo