KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memandang serius ketegangan yang tercetus kebelakangan ini berkait isu rumah ibadat yang didakwa dibina di atas tanah milik pihak lain termasuk tanah kerajaan.
Ketua Portfolio Perpaduan Negara PN, Dr Halimah Ali berkata, perkara melibatkan sensitiviti agama dan hubungan antara kaum mesti ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta melalui saluran pentadbiran sah, bukannya melalui tindakan emosi, provokasi atau keganasan.
Menurutnya, insiden seperti pembakaran kenderaan serta serangan fizikal adalah amat dikesali dan tidak boleh diterima sama sekali.
Jelas beliau, tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan keharmonian masyarakat serta mengundang ketegangan yang lebih besar dalam kalangan rakyat.
“Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang telah sekian lama menjadi kekuatan negara.
“Oleh itu, sebarang pertikaian berkaitan pemilikan tanah, rumah ibadat atau isu pentadbiran hendaklah diselesaikan melalui proses undang-undang dan pihak berkuasa yang berkaitan, tanpa mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengancam ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar berkenaan menambah, PN turut menggesa kerajaan supaya bertindak segera, telus dan tegas dalam menangani kontroversi tersebut sebelum ia terus mencetuskan ketegangan lebih serius.
Ujarnya, kelewatan memberikan penjelasan dan penyelesaian yang jelas hanya akan membuka ruang kepada penyebaran maklumat tidak tepat, propaganda yang diputar belit serta spekulasi liar di media sosial, yang berpotensi mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.
“Sehubungan itu, PN menyeru semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, tokoh agama, pertubuhan sivil serta orang ramai supaya menahan diri, mengelakkan provokasi dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Perpaduan, keamanan dan kestabilan negara mesti terus dipelihara demi kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment