KUALA LUMPUR – Kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen di Semenanjung memberi kesan amat besar kepada sektor ekonomi asas negara, khususnya sektor pertanian dan pesawah padi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, diesel bagi golongan pesawah bukan sekadar bahan api, sebaliknya merupakan keperluan operasi harian.
Jelasnya, daripada jentera membajak, pam air, mesin menuai hinggalah kepada pengangkutan hasil padi, hampir keseluruhan rantaian pengeluaran padi bergantung kepada penggunaan diesel.
Sehubungan itu, ujarnya, apabila harga diesel meningkat, secara langsung kos operasi pesawah turut meningkat.
Dalam masa sama, tambah beliau, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada pesawah di lapangan bahawa masih ramai yang tidak menerima bantuan subsidi diesel melalui program Budi Madani kerana kekangan birokrasi dan syarat permohonan yang tidak selari dengan realiti sektor padi.
“Di banyak kawasan jelapang padi, terdapat pesawah kecil yang mengusahakan tanah secara sewaan atau menggunakan jentera milik pengusaha lain, selain ada yang menggunakan jentera tanpa cukai jalan.
“Golongan ini sering tercicir daripada sistem kerana nama mereka tidak didaftarkan sebagai pemilik jentera atau pemilik tanah, walhal merekalah yang menanggung kos sebenar operasi di sawah.
“Akibatnya, apabila harga diesel meningkat, mereka terpaksa menyerap kenaikan kos tersebut tanpa menikmati subsidi yang sepatutnya meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nurul Syazwani, beliau memahami bahawa penetapan harga bahan api dipengaruhi oleh pasaran minyak dunia serta keperluan pengurusan fiskal negara.
Namun, pada yang sama, tambahnya, kerajaan perlu memastikan mekanisme subsidi bersasar benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya pesawah yang menjadi tulang belakang bekalan makanan negara.
Ujar beliau, sekiranya kos pengeluaran padi terus meningkat tanpa sokongan yang mencukupi, akhirnya bukan sahaja pesawah yang tertekan, malah ia boleh memberi kesan kepada kestabilan harga beras yang menjadi makanan asas rakyat Malaysia.
“Dasar yang baik tidak hanya diukur pada pengumuman, tetapi pada keberkesanan pelaksanaannya di lapangan.
“Bantuan mesti sampai kepada mereka yang benar-benar bekerja di sawah,” katanya.
Konflik perang di Asia Barat mula memberikan kesan kepada bahan api di negara ini selepas kerajaan mengumumkan lonjakan kenaikan harga pam RON95 dan RON97 masing-masing sebanyak 60 sen, manakala diesel di Semenanjung dinaikkan 80 sen seliter. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment