NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Serangan udara Israel: Doa buat MALBATT 850-13




KUALA LUMPUR
: Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan solidariti dan doa buat seluruh anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang berdepan situasi berisiko di Lubnan susulan serangan udara rejim Israel, sejak kelmarin.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, keberanian anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kekal menjalankan amanah di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan kewibawaan dan profesionalisme tinggi pasukan keselamatan negara di medan antarabangsa.

“Keberadaan mereka di zon konflik yang semakin memuncak susulan ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran memperlihatkan tahap pengorbanan yang amat tinggi demi mempertahankan keamanan sejagat.

“Kita berdoa agar semua anggota yang terlibat sentiasa berada dalam keadaan selamat serta dilindungi oleh Allah SWT dalam menjalankan tugas mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Afnan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ATM yang konsisten mempertahankan kedaulatan tanah air, terutama ketika rakyat Malaysia sedang sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, penghargaan tersebut juga harus diberikan kepada semua agensi keselamatan dan barisan hadapan yang bertugas tanpa henti demi kesejahteraan rakyat.

“Penghargaan yang sama dizahirkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Maritim Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta petugas kesihatan.

“Mereka merupakan tunjang utama yang memastikan keamanan negara terus terpelihara walaupun ketika musim perayaan,” katanya yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Alor Setar.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan para wira negara dan menghargai pengorbanan mereka dengan mengekalkan semangat perpaduan nasional.

“Semoga Allah SWT melindungi para pejuang negara di mana jua mereka berada dan mengurniakan keamanan berpanjangan kepada Malaysia,” tambahnya.

Pegawai dan anggota yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) itu dilaporkan selamat selepas satu serangan udara Israel berlaku berhampiran kedudukan mereka di selatan negara itu.

Pasukan yang sedang menjalankan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kawasan berkenaan diserang oleh pasukan udara rejim itu (IDF) jam 2.35 pagi waktu tempatan kira-kira 100 hingga 200 meter dari sebuah pos kawalan MALBATT. – HARAKAHDAILY 15/3/2026






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo