Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan memandangkan setiap pelantikan berlandaskan keputusan mesyuarat yang telah dipersetujui secara kolektif.
Beliau membidas kenyataan dimainkan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong yang dilihat cuba menimbulkan kegusaran terhadap kedudukan PAS dalam gabungan berkenaan.
“PAS telah menyatakan kesediaan untuk menerajui PN, maka itulah yang diterjemahkan dalam struktur kepimpinan. Walaupun tujuh daripada 13 jawatan tertinggi diisi oleh wakil PAS, ia tidak menggambarkan dominasi mutlak tetapi lebih kepada tanggungjawab,” ulasnya.
Menurut beliau, sekiranya pengiraan dibuat secara matematik berdasarkan jumlah wakil rakyat, peratusan jawatan dipegang PAS sebenarnya jauh lebih rendah berbanding kekuatan kerusi dimiliki parti itu dalam PN.
Beliau memperincikan bahawa PAS memiliki 189 wakil rakyat (43 Ahli Parlimen dan 146 ADUN), manakala BERSATU mempunyai 87 wakil rakyat (31 Ahli Parlimen dan 56 ADUN).
“Jumlah keseluruhan wakil rakyat PN adalah 276 orang. Ini bermakna wakil rakyat daripada PAS merangkumi 68.47 peratus daripada kekuatan keseluruhan gabungan ini.
“Justeru, agihan 54 peratus jawatan dalam majlis tertinggi PN sebenarnya tidak berkadaran dengan jumlah kerusi yang dimenangi. Namun, PAS memilih untuk berkongsi dan tidak membolot semua jawatan,” jelas beliau.
Dr Yusfarizal turut memberikan contoh jawatan Pengarah Pilihan Raya PN yang disifatkan antara jawatan paling strategik, namun tetap diberikan kepada BERSATU sebagai bukti keterbukaan PAS dalam berkongsi kuasa.
Malah, pelantikan Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewujudkan jawatan Timbalan-Timbalan Setiausaha Agung daripada semua parti komponen membuktikan semangat kerjasama utuh dalam gabungan tersebut.
“Kepada pihak yang melatah, tidak perlu bimbang kerana PN tetap teguh dan bekerjasama dengan baik. Begitulah PAS, kami sedia berkongsi dan adakalanya mengalah, namun apabila ditolak ke depan, kami bersedia memikul amanah dengan segala kemungkinan,” katanya.
Poay Tiong mendakwa, sesebuah gabungan politik semakin dikuasai oleh satu parti tunggal dan hala tuju serta kuasa keputusan tertumpu kepada satu parti sahaja manakala parti komponen lain hanya sekadar pelengkap, gabungan tersebut sudah kehilangan maknanya.
Justeru, Ahli Parlimen Kota Melaka itu mempertikaikan PN bukan gabungan politik berbilang parti atau berubah menjadi gabungan di bawah PAS semata-mata. – HARAKAHDAILY 15/3/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment