NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SARA: Lebih 12.5 juta rakyat belanja lebih RM1b sejak tiga minggu lalu – MOF



KUALA LUMPUR – Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan lebih RM1 bilion untuk pembelian barangan keperluan asas menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam tempoh tiga minggu lalu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jualan pada hari pertama SARA tahun ini mencecah RM97 juta iaitu hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama tahun lalu.

SARA untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula  kewangan negara. Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan dipulangkan kepada rakyat.

“Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya telah memastikan kelancaran sistem bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.

“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,” katanya.

ambah kenyataan itu, penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan program tersebut memudahkan rakyat memanfaatkan bantuan bersasar, di samping memastikan penyaluran yang cekap dan terurus.

Jelasnya, ia jelas terbukti dengan penggunaan kredit RM100 di bawah SARA yang telah mencecah 56 peratus pengguna.

“Dimaklumkan juga baki kredit masih sah digunakan sehingga 31 Disember 2026,” katanya.

Tambahnya, dari segi taburan geografi, kadar penggunaan SARA setakat ini menunjukkan kadar lebih tinggi di Zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Ujarnya, negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kadar penebusan antara yang tertinggi termasuk Sabah (70 peratus); Perlis (65 peratus); Kelantan dan Labuan (64 peratus); Terengganu dan Kedah (63 peratus); Sarawak (62 peratus) dan Pahang (60 peratus).

Jelasnya, selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, program SARA turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya di peringkat komuniti.

“Bilangan Rakan Niaga SARA kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara, selain rangkaian pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000.

“Peningkatan ini dijangka mengurangkan jarak purata ke premis penerimaan SARA kepada sekitar tujuh kilometer berbanding 10 kilometer ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo