KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
“Perdana Menteri menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tengku Zafrul sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara selama enam tahun iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mula mengangkat sumpah sebagai Senator buat kali pertama pada 10 Mac 2020 untuk jawatan Menteri Kewangan, sebelum menyambung penggal kedua pada 3 Disember 2022 dan secara rasmi menamatkan perkhidmatan di Dewan Negara pada 2 Disember tahun lalu.
Beliau kemudiannya dilantik menerajui agensi promosi pelaburan utama negara sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 3 Disember tahun lalu bagi tempoh selama dua tahun. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment