KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mempersoalkan dakwaan kononnya kemasukan semula tokoh tertentu seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin ke dalam UMNO mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Menurutnya, kemasukan semula dua tokoh pemipin berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah sebenar UMNO yang berpunca daripada krisis integriti dan kredibiliti kepimpinan parti.
Sehubungan itu, ujarnya, kepimpinan UMNO perlu terlebih dahulu menjawab beberapa persoalan asas yang menjadi punca kemerosotan keyakinan terhadap parti itu.
“Persoalan utama ialah sama ada keyakinan rakyat terhadap UMNO runtuh kerana kekurangan tokoh atau disebabkan krisis integriti dalam kalangan kepimpinan parti itu sendiri.
“Adakah rakyat akan lupa bahawa UMNO hari ini dipimpin oleh seorang presiden yang pernah berdepan puluhan kes mahkamah walaupun akhirnya mendapat keputusan tiada tindakan lanjut?
“Persepsi rakyat terhadap UMNO ketika ini ialah parti itu terpalit dengan imej kleptokrasi selepas skandal isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim yang menyertai UMNO sejak 1981 berkata, beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Cawangan, Ketua Pemuda Bahagian Pasir Mas serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebelum dipecat sebagai Ketua Bahagian Pasir Mas pada tahun 2003 semasa era kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau mendakwa, pemecatan tersebut berlaku tanpa sebarang alasan walaupun kawasan Parlimen Pasir Mas tidak terlibat dengan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya ketika itu.
Mengimbas pengalamannya, Ibrahim berkata, beliau pernah menjelajah seluruh negara mempertahankan UMNO ketika krisis politik melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat daripada kerajaan dan parti.
Namun katanya, pengalaman tersebut juga membuka matanya terhadap budaya politik di dalam UMNO yang menurut dakwaannya dipenuhi unsur politik wang, persaingan dalaman serta sikap cemburu dan dengki sesama pemimpin.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan kemampuan kemasukan semula tokoh tertentu untuk memulihkan persepsi rakyat terhadap parti itu.
Antara persoalan yang dibangkitkan, ujarnya, termasuk sama ada UMNO sanggup melakukan reformasi sebenar, membersihkan kepimpinan yang terpalit kontroversi, serta memberi laluan kepada pemimpin yang dilihat lebih bersih dan berintegriti.
Selain itu, Ibrahim turut mempersoalkan bagaimana UMNO mahu bercakap mengenai maruah politik Melayu sedangkan parti itu kini berada dalam kerajaan yang turut disertai DAP, parti yang suatu ketika dahulu sering dilabel sebagai ancaman kepada politik Melayu oleh UMNO sendiri.
Menurut Ibrahim lagi, rakyat Malaysia kini lebih matang dan tidak lagi menilai parti semata-mata berdasarkan populariti individu, sebaliknya melihat kepada prinsip perjuangan, integriti, gaya hidup serta konsistensi kepimpinan.
“Jika kepimpinan UMNO sendiri tidak berubah, bagaimana rakyat mahu percaya bahawa parti itu benar-benar telah berubah?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa, sebelum bercakap tentang pemulihan keyakinan rakyat, kepimpinan UMNO perlu menjawab persoalan asas mengenai punca kejatuhan kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment