KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan implikasi dan hala tuju perdagangan negara, susulan laporan pembatalan perjanjian perdagangan timbal balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan sebenar rundingan dan komitmen yang telah dibuat oleh kerajaan di bawah perjanjian berkenaan sebelum ini.
Ujar beliau, ia terutama berhubung kesannya terhadap industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan dan kepastian dasar pelaburan negara.
“Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, kejelasan dasar dan keyakinan pelabur kepada Malaysia menjadi semakin penting.
“PN percaya mana-mana perjanjian perdagangan strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap dasar perdagangan, ruang dasar negara serta kepentingan ekonomi nasional mesti ditangani dengan ketelusan dan penelitian institusi yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ART kini tidak lagi terpakai susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh diperkenalkan Presiden AS, Donald Trump.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, buat masa ini Malaysia hanya dikenakan tarif global sebanyak 10 peratus, berbanding 19 peratus yang diputuskan menerusi ART sebelum ini.
Sementara itu, Takiyuddin menambah, hakikat ART kini terbatal susulan perkembangan perundangan di AS mengesahkan kepentingan pendekatan yang lebih berhati-hati dan penelitian menyeluruh dibuat sebelum negara terikat dengan apa-apa komitmen perdagangan antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya, PN menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera yang menyeluruh mengenai status sebenar perjanjian tersebut, implikasi ekonomi dan diplomatiknya kepada Malaysia, selain langkah-langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan negara.
Jelasnya, memandangkan isu itu melibatkan kepentingan perdagangan serta hubungan ekonomi strategik Malaysia dengan AS, maka PN juga berpandangan kerajaan wajar memanggil Sidang Khas Parlimen berhubung isu tersebut.
Ujarnya, ia bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen diberikan taklimat penuh, seterusnya membahaskan implikasi perkembangan terbaru itu secara terbuka dan bertanggungjawab.
“Ini termasuklah persoalan berkait hala tuju hubungan perdagangan antara Malaysia dengan AS, selain menunaikan hak Parlimen untuk diberitahu tentang apa-apa komitmen yang mungkin dibuat atau konsesi diberikan dalam rundingan sebelum ini,” katanya.
Ujar beliau, langkah itu penting bukan sahaja untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, tetapi juga bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan wajarnya dalam memeriksa hala tuju dasar perdagangan negara dan kepentingan jangka panjang ekonomi negara.
“PN akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan memainkan peranan proaktif bagi memastikan kepentingan Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam keputusan dasar perdagangan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment