KUALA LUMPUR – Parti Muda tidak akan teragak-agak menarik diri daripada mana-mana kerjasama politik sekiranya garis merah yang ditetapkan dilanggar oleh mana-mana rakan gabungan, demikian menurut Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz.
Beliau berkata, prinsip parti itu adalah jelas iaitu tidak akan sesekali bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempertahankan korupsi, bersifat ekstrem atau mengangkat agenda kleptokrasi.
“Kesetiaan Muda bukan terletak kepada jawatan atau gabungan politik semata-mata, sebaliknya berpasak kepada janji yang telah dibuat kepada rakyat.
“Kalau Muda gila kuasa atau gila jawatan, kita boleh kekal dalam kerajaan (sebelum ini) tanpa masalah. Namun, apabila kita melihat isyarat jelas kerajaan tidak serius melawan rasuah, kita pilih untuk tarik diri,” katanya menerusi program Skop MG dengan tajuk Muda: Antara Idealisme & Realiti Pahit.
Mengulas lanjut mengenai persediaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), Amira Aisya menjelaskan bahawa pemilihan pimpinan Muda yang dijadualkan Sabtu ini bakal menentukan barisan hadapan yang akan membuat keputusan kritikal mengenai kerjasama politik.
Berbeza dengan parti veteran yang sering menunda pemilihan sehingga selepas pilihan raya, Muda memilih untuk mendapatkan mandat segar daripada akar umbi sebelum melangkah ke medan pilihan raya.
“Siapa pun yang dipilih nanti, mereka yang akan tentukan dengan siapa kita bekerjasama dan siapa calon kita.
“Paling utama, sesiapa pun rakan kerjasama kita nanti, jika garisan merah dilanggar, Muda akan bertindak mengikut prinsip yang sama seperti sebelum ini,” tambahnya.
Amira Aisya turut menyentuh mengenai kerencaman 31 calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional termasuk aktivis, usahawan, dan golongan wanita bagi mencerminkan landskap Malaysia yang inklusif. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment