KUALA LUMPUR – Landskap politik negara yang kelihatan ‘bising’ dan kucar-kacir ketika ini bukan petanda sistem sedang sakit sebaliknya membuktikan demokrasi Malaysia semakin tumbuh sihat.
Pemangku Presiden Parti Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, dinamika politik yang sering berubah sejak pasca 2018 menunjukkan sistem demokrasi Malaysia tidak lagi statik seperti enam dekad lalu.
“Kalau kita lihat 60 tahun lepas, politik kita sangat statik. Kita tahu siapa kerajaan dan siapa pembangkang.
“Tetapi hari ini, rentaknya berbeza dan itu adalah corak biasa demokrasi.
“Demokrasi memang ruang yang bising dan kucar-kacir kerana kita mahu menyambut suara semua rakyat yang datang daripada pelbagai latar belakang dan idea,” katanya dalam program Skop MG.
Sementara itu, Amira Aisya yang juga merupakan calon Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada pemilihan Muda 2026/2029 berkata, setakat ini partinya masih tidak dapat memberi jawapan mengenai kerjasama politik khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Corak kerjasama hari ini tidak lagi semudah dahulu kerana kewujudan Kerajaan Perpaduan dan blok pembangkang yang mempunyai pelbagai pendapat.
“Soalan ini bukan sahaja sukar untuk saya, tetapi juga untuk parti-parti veteran yang sudah wujud berdekad lama, dinamika sekarang sangat berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji tahap kesedaran politik rakyat Malaysia yang kini semakin matang dan tidak lagi menerima bulat-bulat kenyataan ahli politik.
“Dengan kewujudan media sosial memberi ruang kepada rakyat untuk menuntut akauntabiliti dan memastikan setiap wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mandat yang diberikan.
“Bila bercerita tentang tanggungjawab seseorang ahli politik, saya fikir kita ada dua perspektif.
“Pertama adalah perspektif untuk kita hanya bercerita tentang apa yang mungkin orang mahu dengar dan 100 peratus kita akan dapat undi menerusi cerita-cerita tersebut,” tambahnya.
Katanya lagi, ia termasuklah isu-isu yang berkaitan dengan poket rakyat.
“Dapat ke orang kita makan dan minum atas meja, mereka dapat tak bumbung atas kepala mereka, ada tak kerja, dapat tak gaji bermaruah, anak dapat tak pergi sekolah.
“Itu semua isu-isu yang memang semua orang nak dengar.
“Selain itu, tanggungjawab ahli politik juga adalah untuk bercerita tentang isu-isu yang mungkin orang tidak begitu cakna tetapi kita sendiri tahu dalam jangka masa panjang sekiranya isu ini tidak diselesaikan, Malaysia kita akan kekal merudum; daripada kestabilan institusi sehinggalah kepada perkara-perkara seperti yang kita sebut tadi seperti gaji, makan minum, rumah, sekolah, tentang keselamatan makanan,” jelasnya.
Sementara itu, Muda kini sedang dalam tempoh berkempen untuk memilih 25 Ahli Jawatankuasa (CEC) tertinggi parti itu.
Ahli CEC yang dipilih kemudiannya akan bermesyuarat untuk menentukan secara dalaman siapa yang akan memegang jawatan tertinggi parti, termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan jawatan penting lain, selaras dengan perlembagaan parti.
CEC akan mengadakan mesyuarat sejurus selepas keputusan diumumkan pada 14 Mac ini untuk memilih barisan kepimpinan baharu, dan pemegang jawatan tertinggi parti akan dipilih daripada kalangan mereka yang terpilih ke dalam CEC. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment