NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadang tanam sayur sendiri tak selesai isu keterjaminan makanan – Wan Saiful



KUALA LUMPUR – Cadangan supaya kakitangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) memulakan tanaman sayur-sayuran sendiri tidak menjawab isu keterjaminan makanan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun usaha menggalakkan rakyat bercucuk tanam adalah sesuatu yang baik, namun ia bukan jawapan serius dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan makanan global.

Menurut beliau, isu keterjaminan makanan jauh lebih besar yang mana negara masih bergantung kepada import makanan bernilai puluhan bilion ringgit setiap tahun.

Sehubungan itu, ujarnya, tanaman kecil di halaman rumah walaupun bermanfaat untuk kegunaan sendiri, tidak mampu memberi kesan signifikan kepada bekalan makanan negara secara keseluruhan.

“Mengulangi pendekatan kempen lama seperti Kempen Buku Hijau tanpa pembaharuan dasar yang menyeluruh juga tidak memadai untuk menangani cabaran sektor pertanian moden,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Berucap pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Kabinet sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau akan mengarahkan pegawainya yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat.

Menurut Mohamad, program itu akan dimulakan dengan tanaman seperti cili, terung, kucai dan sebagainya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, isu utama sektor makanan negara hari ini adalah produktiviti yang rendah, pengurangan tanah pertanian, kos input yang semakin meningkat serta kelemahan dalam rantaian bekalan.

Sehubungan itu, menurutnya, Mohamad seharusnya bercakap mengenai bagaimana untuk menangani cabaran-cabaran tersebut.

Tegas beliau, keterjaminan makanan adalah tanggungjawab dasar negara, bukan sesuatu yang boleh dipindahkan kepada inisiatif individu semata-mata.

Ujarnya, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang lebih menyeluruh seperti meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh rantaian bekalan, memperluas penggunaan teknologi pertanian moden serta memastikan dasar yang benar-benar mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan.

“Saranan yang disuarakan oleh Mohamad Sabu tak selayaknya dikemukakan oleh seorang bertaraf menteri yang berperanan mengurus keterjaminan makanan negara,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia memerlukan pelan keterjaminan makanan yang serius dan berasaskan data dan strategi jangka panjang, bukan sekadar langkah populis untuk menutup kelemahan. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo