KUALA LUMPUR — Di sebalik pelbagai spekulasi dan dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang bergolak, Srikandi Muda tampil mematahkan persepsi itu dengan mesej tegas — parti semakin kukuh, bukan rapuh.
Kenyataan tersebut hadir susulan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berlangsung semalam, dengan sayap wanita muda itu menyifatkan langkah penyusunan semula parti sebagai strategi memperkemas kekuatan dalaman, bukannya petanda perpecahan.
Ketua Srikandi Muda, Nurul Ezzati Azmi berkata pihaknya menerima perkembangan terkini parti dengan sikap terbuka dan optimis, malah melihatnya sebagai ruang untuk melonjakkan semula momentum perjuangan.
“Srikandi Muda melihat langkah ini sebagai satu proses pemerkasaan dan rejuvenasi parti yang amat diperlukan bagi memastikan Bersatu terus kekal relevan, dinamik serta bersedia menghadapi cabaran politik semasa.
“Dalam masa yang sama, Srikandi Muda menegaskan bahawa sayap ini kekal utuh dan tidak terkesan dengan sebarang percubaan untuk menggugat kestabilan parti,” katanya hari ini.
Menurut beliau, usaha penyusunan semula bahagian yang diterajui Pemangku Timbalan Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Faizal Azumu bersama Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali, adalah langkah penting dalam memperkukuh struktur organisasi parti di seluruh negara.
Srikandi Muda turut merakamkan penghargaan atas komitmen kepimpinan tertinggi dalam memastikan proses tersebut berjalan lancar dan teratur, termasuk pembentukan jawatankuasa petugas khas atau jawatankuasa penaja baharu di bahagian yang terjejas.
“Perjuangan harus diteruskan dengan semangat baharu. Apa jua yang telah berlaku adalah sebahagian daripada proses mematangkan parti, dan kini masanya untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih fokus dan tekad,” jelasnya lagi.
Dalam nada sama, Nurul Ezzati menegaskan bahawa sayap itu tidak akan terperangkap dengan polemik dalaman, sebaliknya memilih untuk memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi dan mendekati generasi muda yang semakin menjadi penentu landskap politik negara.
“Pendekatan baharu yang lebih segar dan inklusif dengan aspirasi anak muda akan menjadi fokus utama gerak kerja kami. Srikandi Muda Bersatu Malaysia kekal komited untuk memainkan peranan aktif dalam memperkukuh parti dan memastikan suara anak muda terus menjadi sebahagian penting dalam perjuangan Bersatu,” tegasnya.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada mana-mana bahagian parti yang terbubar susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasa (AJK) di peringkat tersebut yang dikaitkan dengan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden sebelum ini.
Menurut Muhyiddin, bagi bahagian yang terjejas, jawatankuasa petugas khas atau jawatankuasa penaja baharu telah dibentuk sebagai langkah segera menyusun semula struktur organisasi dan memastikan kelangsungan pentadbiran parti terus berjalan tanpa gangguan. — MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment