Kerugian mengejutkan berjumlah ratusan juta ringgit oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada sebuah syarikat pemula (start-up) dari Indonesia yang disabitkan penipuan merentasi beberapa negara telah mencetuskan persoalan mengenai strategi pelaburan dana milik kerajaan Malaysia itu, lebih sedekad selepas ia terpalit dengan skandal 1MDB berhubung pinjamannya kepada SRC International.
Bagaimanapun, tidak seperti RM4 bilion yang telah dibayar balik sepenuhnya dengan jaminan kerajaan persekutuan, wang RM163.4 juta yang dilaburkan KWAP tiga tahun lalu dalam syarikat akuakultur Indonesia eFishery mungkin tidak akan dapat dikembalikan.
Pada 29 April, Indonesia menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas pengasas eFishery, Gibran Huzaifah, selepas mendapati penyelewengan dan pengubahan wang haram berjumlah AS$300 juta (RM1.23 bilion).
Antara pelabur utama ialah firma modal teroka 500 Global, SoftBank Vision Fund dari Jepun, Temasek dari Singapura, Peak XV Partners, 42XFund serta pelbagai syarikat lain, yang ditipu dengan jumlah keseluruhan AS$300 juta.
Sebahagian daripada syarikat itu, seperti SoftBank, mempunyai sejarah pelaburan yang lemah dan gagal.
Susulan skandal itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga mengetuai Kementerian Kewangan yang menyelia secara langsung KWAP, menafikan sebarang salah laku dan berkata usaha wajar (due diligence) dan kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan oleh panel pelaburan dana itu sebelum diluluskan lembaga pengarah.
“Kerana dana dilabur itu walaupun besar, tapi kecil ketimbang dilakukan syarikat antarabangsa terkenal lain yang (jumlahnya) lebih besar. Penipuan ini, penipuan sangat canggih,” katanya.

Selain Anwar, bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Tengku Zafrul Aziz, merupakan antara suara kerajaan yang dilihat cuba memperkecilkan impak pelaburan terhadap KWAP dengan menunjukkan pegangannya yang terlalu kecil, iaitu sebanyak 2.51% dalam eFishery.
“Ini bermakna kes eFishery tidak memberi kesan besar terhadap kewangan KWAP atau kemampuannya untuk terus membantu kerajaan menanggung kos pencen, dan tanggungjawab kerajaan membayar pencen penjawat awam kekal seperti biasa,” kata Zafrul.
Katanya, jumlah tersebut mewakili kurang daripada 0.1% daripada dana RM195 bilion KWAP pada 2025, dan kurang daripada 1% daripada pendapatan RM18 bilion menerusi pelaburan yang direkodkan dalam tahun kewangan terkini.
Penjelasan itu bagaimanapun hanya mengundang lebih banyak kritikan.
Antaranya, tercetus persoalan sama ada hujah “jumlah kecil” terpakai kepada sebuah dana yang dibentuk daripada wang milik berjuta-juta penjawat awam dan diamanahkan untuk melindungi kebajikan mereka di tengah-tengah krisis simpanan masa tua yang dihadapi rakyat Malaysia selama beberapa dekad.
Seorang sumber kanan dalam pasaran modal Malaysia berkata kerugian yang dialami KWAP menimbulkan persoalan sama ada benar dakwaan perdana menteri bahawa usaha wajar, atau due diligence, telah dijalankan dengan sewajarnya.
Sumber yang pernah menerajui beberapa agensi kawal selia utama itu turut membangkitkan kemungkinan konflik kepentingan melibatkan jawatankuasa pelaburan KWAP.
“Apabila sebuah dana yang bertujuan melindungi simpanan hari tua orang ramai bertindak melabur dalam syarikat pemula di negara asing, ia pasti mencetuskan tanda tanya, malah sebelum proses due diligence dijalankan,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Tambahnya, hujah Zafrul bahawa pegangan dalam eFishery terlalu kecil dan dakwaan bahawa kerugian tersebut tidak ketara dibandingkan dengan keuntungan KWAP menyerlahkan kejahilannya tentang tujuan dan sifat dana tersebut.
“Kita ambil contoh penjawat awam yang akan menerima purata pencen bulanan sebanyak RM1,000. Wang RM163 juta itu boleh menampung 163,000 bayaran bulanan setiap individu.”
Semakan mendedahkan bahawa ketika keputusan melabur dalam eFishery dibuat pada Julai 2023, jawatankuasa pelaburan KWAP dipengerusikan oleh Mohamad Nasir Ab Latif.
Nasir ketika itu merupakan pengarah bukan eksekutif bebas Yinson Holdings, konglomerat tenaga tersenarai awam yang dikawal taikun Lim Han Weng dan keluarganya.
Beliau kemudian meninggalkan KWAP untuk mengetuai panel pelaburan sebuah lagi dana utama di bawah Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kedua-dua KWAP dan KWSP memegang sejumlah 24% kepentingan dalam Yinson Holdings, iaitu pegangan terbesar selepas keluarga Lim yang memiliki kira-kira 27.7%.
Sumber yang sama mempersoalkan mengapa KWAP memutuskan untuk mengeluarkan jumlah pelaburan yang begitu besar.
"Nampaknya apabila ada nama-nama dana besar melabur, KWAP pun tidak mahu ketinggalan," tambahnya.
Menurutnya lagi, 500 Global, antara pelabur besar dalam eFishery, juga mempunyai hubungan dengan KWSP dan KWAP.
Sumber itu menawarkan penjelasan yang lebih ringkas.
"Mereka bersikap FOMO," katanya, menggunakan istilah yang bermaksud "takut ketinggalan".
"Selepas kesilapan SRC, mereka sepatutnya mempunyai garis panduan jawatankuasa pelaburan yang lebih kukuh," tambahnya.
Menurutnya, semakan akan mendapati pegangan saham KWAP yang lain juga tidak mempunyai perlindungan yang sesuai.
Dalam menjawab kerugiannya, KWAP berkata ia telah memperkukuh pendekatannya terhadap pelaburan pasaran swasta.
"KWAP telah mengambil tindakan susulan selaras dengan tadbir urus dan kerangka akauntabiliti dalaman, serta giat meneroka saluran bersesuaian bagi memaksimumkan usaha pemulihan pelaburan tersebut.
"KWAP terus memperkukuh pendekatan pelaburan pasaran swasta melalui perluasan kepelbagaian portfolio, pelaburan bersama rakan strategik, serta pemantauan pasca-pelaburan yang dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengumumkan siasatan terhadap pelaburan KWAP dalam eFishery.
Persoalan ‘due diligence’
Sementara itu, sumber sama melahirkan rasa terkilan dengan penjelasan Anwar di Parlimen – bahawa keputusan KWAP untuk melabur dibuat selepas penilaian berdasarkan "maklumat yang tersedia pada masa itu", seperti penyata kewangan yang disahkan juruaudit bertauliah antarabangsa.
"Bolehkah pasukan yang menjalankan ‘due diligence’ KWAP menjelaskan sama ada wujud penyata kewangan yang difailkan pada masa itu?" soalnya.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan bahawa syarikat induk eFishery di Singapura gagal memfailkan penyata kewangan tahunan selama bertahun-tahun, dan penyata 2020 tidak difailkan sehingga 2024.
MalaysiaNow telah menghubungi KWAP untuk mendapatkan penjelasan.
Bulan lalu, Anwar mengakui isu eFishery menunjukkan kelulusan firma audit global bukan jaminan sesuatu pelaburan itu selamat.
"Ini pengajaran, peringatan kepada kita. Tak bergantung kepada syarikat audit, sukar untuk dapat kelulusan. Bergantung sepenuhnya, kita lihat ada juga risiko," katanya.
Bagaimanapun, sumber itu berkata proses due diligence dalam pelaburan yang melibatkan simpanan orang ramai tidak terbatas kepada kedudukan kewangan semata-mata.
"Apabila didapati sebahagian besar pegangan syarikat pemula dimiliki dana besar antarabangsa dan pelabur asing berbanding entiti tempatan, ia pasti menimbulkan persoalan.
"Dan jika mereka kaji dengan lebih mendalam, banyak dana antarabangsa ini pernah ditipu sebelum ini," katanya.
Kes paling berprofil tinggi melibatkan SoftBank Vision Fund, yang diketuai hartawan Jepun, Masayoshi Son.
Bermula pada 2017, ia mencurahkan AS$16 bilion ke dalam firma perkongsian pejabat WeWork, sehingga syarikat itu diisytihar muflis pada akhir tahun 2023.
Pada 2022, SoftBank melabur dalam mata wang kripto FTX, bersama nama besar lain termasuk Temasek, Lightspeed Venture Partners, Tiger Global dan Insight Partners. FTX muflis pada tahun sama.
Kegagalan SoftBank yang lain termasuk pelaburan ratusan juta dolar dalam Zume, sebuah syarikat pemula yang menjalankan penghantaran piza menggunakan robot; AS$2 bilion dalam syarikat perhotelan OYO, yang mencatatkan kerugian besar semasa pandemik Covid-19; dan firma e-hailing China, DiDi.
"Apakah due diligence tidak menyedari penglibatan SoftBank dan watak seperti Masayoshi Son?" soal sumber itu.
Sumber | Malaysiakini
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment