NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Melaka: PAS langgar perlembagaan PN jika ketepi Bersatu dalam rundingan



PETALING JAYA:
 PAS akan dianggap bertindak secara unilateral dan melanggar Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) jika benar rundingan kerusi PRN Melaka tidak melibatkan Bersatu, kata Ketua Penerangannya Tun Faisal Ismail Aziz.

Tun Faisal berkata, Bersatu sehingga kini masih anggota PN dan mempunyai hak sebagai parti komponen seperti diperuntukkan dalam Fasal 7 Perlembagaan gabungan itu.

“Kalau benar rundingan di Melaka tidak melibatkan Bersatu, bermaksud PAS sekali lagi menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 7 Perlembagaan PN.

“Sebelum ini di Negeri Sembilan, PAS mengetepikan Bersatu dan tidak menjemput Bersatu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN menggunakan alasan yang lemah dan tidak berasaskan Perlembagaan PN mahupun Perlembagaan Bersatu.

“PAS bertindak mendahului Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM),” katanya kepada FMT.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, pada Isnin berkata gabungan itu akan mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung PRN Melaka tanpa melibatkan Bersatu.

Menurutnya, rundingan itu masih belum bermula, namun secara asasnya PN dan BN bersetuju untuk memulakan perbincangan dalam masa terdekat.

Mengulas perkara itu, Tun Faisal mendakwa perkembangan berkenaan menunjukkan keputusan dalam PN kini bergantung kepada pihak yang memegang kuasa dalam gabungan tersebut.

Beliau mendakwa, Perlembagaan PN dan keputusan MT gabungan itu boleh diketepikan, manakala keputusan dibuat secara unilateral mengikut kehendak PAS.

“Pengerusi PN dah ibarat boneka. Kenyataan pengerusi PN dan keputusan MT PN boleh ‘di-override’ oleh ‘Pusat Pentadbiran PN’ di Rusila,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Presiden PAS Hadi Awang dilaporkan mendakwa Bersatu secara automatik terkeluar daripada PN selepas parti itu mengumumkan pembentukan gabungan baharu.

Bagaimanapun, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Ahad lalu menegaskan Bersatu masih komponen gabungan itu.


Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo