BANGI, 26 RAMADAN – Seramai 11 individu memfailkan saman terhadap tujuh pihak, termasuk kerajaan Malaysia atas penahanan salah terhadap mereka ketika Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), bulan lalu.
Saman atas dakwaan pelanggaran hak kebebasan peribadi dan bergerak itu difailkan semua plaintif, termasuk Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi, melalui firma guaman Zainul Rijal di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Plaintif lain pula ialah Esma Hisham Zainul Nor, 58; Mohamad Jamalee Basah, 44; Hishammudin Abu Bakar, 57; Monashofian Putra, 64; Mohamad Shafiq Abdul Halim, 35; Jurasmadi Pauzi, 47; Mohamad Faizal Bakhari,42; Elza Nadiah Shaik Sulaiman, 41 dan Baharin Mohd Tahir, 61.
Mereka menamakan anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM); Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai defendan.
Defendan lain ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia.
Peguam plaintif, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata terdapat pelanggaran hak mengikut Perkara 5, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan oleh defendan dengan penahanan salah yang dihadapi semua plaintif berkenaan.
“Selain itu, plaintif menyatakan terdapat kekerasan atau serangan yang tidak perlu dalam proses penangkapan oleh defendan pertama (anggota PDRM) yang mana defendan ketujuh sebenarnya bertanggungjawab untuk menanggung rugi terhadap plaintif.
“Akibat tahanan salah ini, plaintif kehilangan kebebasan diri, kecederaan, ketidakselesaan fizikal, tekanan emosi, maruah dan mental.
“Jadi saman ini difailkan bagi menuntut pihak-pihak yang berautoriti untuk menanggung rugi dan akibat mereka menafikan hak berperlembagaan plaintif,” katanya dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Zainul Rijal berkata, plaintif menuntut semua defendan memohon maaf secara bertulis dan deklarasi bahawa penahanan oleh defendan adalah tidak sah serta bercanggah mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, plaintif turut menuntut ganti rugi am yang ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teruk dan teladan, faedah pada kadar lima peratus serta kos tindakan.
Pada 8 Februari lalu, polis menahan 19 individu termasuk penyelaras himpunan GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur dilapor berkata, semua ditahan berusia antara 30 hingga 64 tahun bagi mengelak berlaku apa-apa yang lebih teruk atau perkara yang tidak dapat dijangka dan melarat atau berlaku jenayah lain akibat tindakan berhimpun itu.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment