KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap pelantikannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu sebagai satu tanggungjawab besar.
Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu itu dilantik oleh PN hari ini bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan.
“Tanggungjawab baharu kepada saya ini amatlah besar, berat dan mencabar terutamanya dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak dan rakyat kepada PN, untuk menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosio ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Samsuri, beliau akan berbincang dengan kepimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN untuk mengadakan mesyuarat MPT PN bagi menentukan pelantikan jawatan sebagaimana keperluannya dalam Perlembagaan PN.
“Apa yang perlu disegerakan pada saat ini ialah pengukuhan muafakat politik ini, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Muhyiddin atas khidmat bakti sebagai Pengerusi PN dari mula penubuhannya, bersama seluruh kepimpinan MPT PN yang membina PN sebagai asas muafakat politik yang dapat bergerak cemerlang sehingga mampu memenangi kerusi yang besar dalam Piihan Raya ke 15 yang lalu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment