NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi, jangan main naratif dizalimi parti – AMK Selangor



KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengingatkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli agar tidak mencipta naratif seolah-olah dirinya dizalimi parti susulan menerima surat tunjuk sebab daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), baru-baru ini.

Ketuanya, Muhammad Iman Haziq berkata, surat berkenaan bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya merupakan ruang yang diberikan kepada ahli untuk memberikan penjelasan.

“Logiknya mudah. Ibarat seseorang yang bekerja di sebuah syarikat. Jika setiap hari dia memuat naik kenyataan mengkritik syarikat dan majikannya secara terbuka sehingga menjejaskan imej organisasi, adakah syarikat akan berdiam diri? Sudah tentu tidak. Pasti akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Justeru, tidak perlu mencipta naratif seolah-olah diri dizalimi hanya kerana organisasi melaksanakan tanggungjawab mempertahankan disiplin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, meskipun Rafizi berhak mengemukakan pandangan dan kritikan, parti juga mempunyai hak untuk mempertahankan disiplin serta struktur dalaman, lebih-lebih lagi apabila kenyataan yang dibuat secara berterusan menyentuh kepimpinan tertinggi parti, termasuk Presidennya, Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan tersebut turut memberi gambaran negatif kepada umum seolah-olah PKR berdepan masalah dalaman yang serius.

“Saya agak hairan mengapa perlu mempersoalkan surat tunjuk sebab sedangkan saban hari beliau memilih untuk mengkritik parti dan menghentam Presiden secara terbuka menerusi podcast serta pelbagai platform media.

“Parti politik bukan pentas bebas tanpa tanggungjawab. Ia mempunyai peraturan dan lembaga disiplin yang perlu dihormati,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Rafizi berhak membuat keputusan sama ada mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atas tiket selain PKR pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, tegasnya, sekiranya bekas Timbalan Presiden PKR itu benar-benar berhasrat mengubah haluan politik, perkara tersebut wajar dilakukan secara tertib dan bermaruah.

“Perlu diingat, perjuangan ini dibina oleh ribuan ahli dan pimpinan di pelbagai peringkat, bukan usaha seorang individu semata-mata. Parti ini lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Iman turut memetik kes Khairy Jamaluddin yang sebelum ini dikenakan tindakan tegas oleh UMNO atas dakwaan melanggar disiplin parti sebagai contoh bahawa setiap tindakan dalam politik mempunyai implikasi tersendiri.

“Jangan terkejut apabila organisasi bertindak mengikut perlembagaannya sendiri,” ujarnya lagi.

Semalam, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi memaklumkan surat tunjuk sebab daripada PKR itu dikeluarkan susulan kenyataannya berhubung hasrat untuk bertanding pada PRU16 bukan atas tiket parti berkenaan. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo