NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejuang Johor dakwa MyKiosk gagal bantu keperluan sebenar peniaga kecil



JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menyifatkan pelaksanaan MyKiosk gagal menepati keperluan sebenar peniaga kecil dan penjaja mikro.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, antara kelemahan paling ketara ialah ketiadaan bekalan air bersih sedangkan air merupakan keperluan asas untuk penyediaan makanan, kebersihan serta pematuhan piawaian kesihatan.

“Kekurangan ini bukan sahaja menyukarkan operasi harian peniaga, malah mendedahkan mereka kepada risiko tindakan penguatkuasaan dan menjejaskan keselamatan pengguna.

“Selain itu, ruang niaga MyKios yang sempit turut menimbulkan pelbagai kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, saiz ruang yang terhad menyukarkan pergerakan peniaga, penyusunan peralatan, penyimpanan bahan mentah serta pelaksanaan kerja-kerja harian dengan selesa dan selamat.

Keadaan itu katanya, lebih membebankan ketika waktu puncak, sekali gus menjejaskan produktiviti dan kecekapan peniaga kecil.

Pejuang Johor turut membangkitkan isu lokasi MyKiosk yang tidak strategik, menyebabkan kekurangan aliran pelanggan dan menyukarkan peniaga menjana pendapatan yang mampan.

Selain itu ujar beliau, terdapat kiosk yang dibiarkan kosong atau tidak digunakan kerana syarat penyertaan yang ketat, kos sampingan yang tinggi serta ketiadaan sokongan susulan daripada pihak berkuasa tempatan.

Jelasnya, ini menunjukkan kegagalan kajian keperluan setempat sebelum projek dilaksanakan.

Di samping itu kata Suraya, kekurangan aspek keselamatan dan keselesaan, termasuk pengudaraan yang lemah, perlindungan daripada cuaca serta risiko kecurian turut memberi tekanan kepada peniaga.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan operasi harian, malah mengurangkan minat peniaga untuk terus bertahan dan menggunakan kemudahan MyKios,” ujarnya.

Penggunaan tenaga solar sebagai sumber elektrik utama MyKios juga dianggap tidak praktikal dan berisiko, katanya.

Bekalan elektrik yang tidak stabil akibat faktor cuaca serta kapasiti tenaga yang terhad katanya, boleh menjejaskan penggunaan peralatan penting seperti peti sejuk dan mesin memasak.

“Risiko kerosakan peralatan, gangguan operasi dan kerugian kewangan akhirnya ditanggung oleh peniaga kecil yang sudah sedia tertekan dengan kos sara hidup,” katanya.

Bagi memastikan kewujudan MyKiosk tidak menjadi satu pembaziran wang rakyat, Pejuang Johor mencadangkan agar kerajaan menilai semula reka bentuk dan konsep MyKiosk secara menyeluruh dengan melibatkan pandangan peniaga di peringkat akar umbi.

Tambahnya, penyediaan bekalan air bersih, ruang niaga yang lebih luas dan selesa serta bekalan elektrik yang stabil melalui sambungan grid utama perlu dijadikan keutamaan, bukannya bergantung sepenuhnya kepada tenaga solar.

Tambahnya, kerajaan disaran menempatkan MyKios di lokasi strategik, menawarkan kadar sewaan berpatutan, serta menyediakan insentif sokongan seperti bantuan peralatan asas, penyelenggaraan berkala dan latihan keusahawanan.

“Pendekatan berfokuskan keperluan sebenar peniaga ini diyakini mampu menjadikan MyKiosk satu platform yang benar-benar membantu ekonomi rakyat, bukannya sekadar projek kosmetik yang akhirnya merugikan negara,” katanya.- MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo