SHAH ALAM - Semua rakan komponen dalam Kerajaan Madani diminta terus memperkukuh komitmen bersama, mengekalkan disiplin dan memastikan mandat rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Pengerusi Kelab-Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketidaktentuan politik berpotensi menjejaskan momentum reformasi dan menghakis keyakinan rakyat serta pelabur terhadap kestabilan negara.
“Keutamaan kita mesti jelas dan konsisten untuk terus memperkukuh institusi Parlimen, melaksanakan reformasi secara bertanggungjawab dan memelihara kestabilan politik demi kemaslahatan rakyat serta masa depan negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Jumaat berkata, parti itu akan mengadakan kongres khas bagi membolehkan perwakilan parti menentukan sama ada pemimpin parti dalam kerajaan perlu meletak jawatan atau tidak.
Anthony turut menyifatkan kongres berkenaan sebagai ‘referendum’ dalaman dengan menekankan bahawa sekiranya perwakilan parti memutuskan untuk menarik diri daripada peranan eksekutif, 40 ahli Parlimen DAP masih akan menyokong kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pilihan raya umum akan datang.
Menurut Dr Zaliha, Parlimen ketika ini sedang memberi keutamaan kepada beberapa Rang Undang-Undang (RUU) strategik dan inisiatif reformasi perundangan.
Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, usaha tersebut memerlukan sokongan majoriti kukuh dan koordinasi berdisiplin dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Madani.
“Reformasi institusi, pengukuhan tata kelola dan pembaharuan struktur pentadbiran bukanlah agenda jangka pendek, sebaliknya merupakan proses berperingkat yang menuntut kesatuan dan keteguhan politik.
“Komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri untuk mempercepat pembentangan serta kelulusan RUU Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri merupakan manifestasi jelas kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan reformasi secara berinstitusi,” ujarnya.
Dr Zaliha berkata, tindakan tersebut membuktikan bahawa agenda perubahan sedang diterjemahkan menerusi saluran Perlembagaan dan proses Parlimen yang sah, bukan sekadar naratif politik semata-mata.
“Agenda reformasi yang sedang berjalan ialah hasil rundingan, kesepakatan dan penjajaran antara parti-parti komponen serta institusi negara,” katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment