WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import ke Amerika Syarikat selepas Mahkamah Agung membatalkan sebahagian besar duti yang sewenang-wenangnya dilaksanakan oleh beliau.
Trump menandatangani perintah tarif itu di Pejabat Oval.
Menerusi hantaran di laman sosialnya, Trump berkata, tarif tambahan itu “berkuat kuasa hampir serta-merta”.
Mahkamah tertinggi yang dikuasai majoriti konservatif itu memutuskan undian enam berbanding tiga pada hari Jumaat bahawa undang-undang tahun 1977 yang digunakan Trump untuk mengenakan kadar tarif mengejut ke atas negara tertentu sehingga mengganggu perdagangan global, “tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif”.
Trump yang pernah melantik dua hakim yang kini menolak pendiriannya bertindak balas dengan marah, menuduh tanpa bukti bahawa mahkamah dipengaruhi kepentingan asing.
“Saya malu dengan beberapa anggota mahkamah, benar-benar malu, kerana tidak mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul demi negara kita.
“Untuk melindungi negara kita, seorang presiden sebenarnya boleh mengenakan tarif yang lebih tinggi daripada yang pernah saya kenakan sebelum ini,” kata Trump kepada wartawan sambil menegaskan keputusan itu menjadikan beliau “lebih berkuasa.”
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, ketika berucap di Economic Club of Dallas berkata, kaedah alternatif itu “akan menghasilkan hasil tarif yang hampir tidak berubah pada 2026.”
Keputusan itu tidak menjejaskan duti khusus sektor yang dikenakan Trump secara berasingan ke atas keluli, aluminium dan pelbagai barangan lain.
Siasatan kerajaan yang masih berjalan berpotensi membawa kepada tarif sektor tambahan.
Namun begitu, ia menandakan kekalahan terbesar Trump di Mahkamah Agung sejak kembali ke White House 13 bulan lalu.
Hakim memutuskan pada Jumaat “sekiranya Kongres berniat untuk menyampaikan kuasa luar biasa dan khusus untuk mengenakan tarif” melalui undang-undang 1977, International Emergency Economic Powers Act (IEEPA), “ia akan berbuat demikian secara jelas, seperti yang konsisten dilakukan dalam undang-undang tarif lain”.
“IEEPA tidak mengandungi sebarang rujukan kepada tarif atau duti,” kata Ketua Hakim, John Roberts, dalam penghakimannya.
Susulan keputusan tersebut, Wall Street menyaksikan harga saham meningkat sederhana selepas keputusan itu, seperti yang dijangka.
Kumpulan perniagaan sebahagian besarnya mengalu-alukan keputusan tersebut, dengan National Retail Federation menyatakan ia “memberikan kepastian yang sangat diperlukan” kepada syarikat.
Pentadbiran Trump berhujah di mahkamah bahawa syarikat akan menerima bayaran balik jika tarif didapati menyalahi undang-undang.
Namun, keputusan itu tidak menyentuh isu berkenaan. – Agensi
Sumber | Malaysiagazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment