KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Hanipa Maidin mengkritik tindakan polis menahan peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), sambil mengingatkan pihak berkuasa agar tidak mengulangi pendekatan era pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, walaupun mungkin terdapat perbezaan pandangan terhadap penganjur, tindakan penguatkuasaan tidak wajar dilihat mengekang hak berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan
“Kita mungkin tidak bersetuju dengan penganjur, tetapi pihak polis tidak sepatutnya berkelakuan seolah-olah mereka berada di bawah rejim lama — BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Hanipa, hak untuk menganjurkan dan menyertai perhimpunan aman perlu dihormati selagi ia berlangsung tanpa kekacauan atau ancaman keselamatan.
“Selagi perhimpunan itu berlangsung secara aman, hak asasi dan perlembagaan wajar dihormati,” katanya.
Malam tadi, penyelaras GARAH, Zamri Vinoth dan penganjur bersama, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bersama 18 individu lain sebelum perhimpunan itu berlangsung.
Peguam Haniff Khatri Abdulla mengesahkan kedua-duanya ditahan untuk proses reman manakala individu lain dibebaskan dengan jaminan polis.
Polis dilaporkan mula menahan peserta di sekitar kompleks beli-belah Sogo seawal jam 8 malam dengan kehadiran anggota termasuk pasukan antirusuhan di beberapa lokasi berhampiran bagi mengawal keadaan.
Dalam perkembangan berkaitan, dua pemimpin parti Urimai turut ditahan selepas merancang menganjurkan perhimpunan berasingan berhampiran Brickfields.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa “tindakan maksimum” akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan keamanan negara, sambil menegaskan kebebasan bersuara tetap dihormati selagi tidak melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum. — MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment