KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mempersoalkan tindakan polis menahan beberapa peguam dan aktivis sebelum berlangsungnya perhimpunan aman pada malam tadi yang didakwanya bercanggah dengan proses undang-undang.
Dalam kenyataan hari ini, PPMM berkata, penahanan dibuat sebelum sebarang perhimpunan berlaku, selain mendakwa individu terlibat tidak dimaklumkan secara jelas alasan mereka ditahan.
“Tindakan ini dilakukan secara mengejut dan tanpa penjelasan munasabah yang menimbulkan persoalan serius dari sudut perundangan.
”Polis gagal menyata dan menjelaskan sebab penahanan para peguam serta aktivis yang dijalankan secara mendadak, melulu,” menurut kenyataan itu.
PPMM berkata, hak berhimpun secara aman dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar disekat tanpa alasan kukuh.
Tambahnya, penahanan terhadap peguam dan aktivis yang menggunakan hak mereka secara sah boleh dianggap sebagai pencabulan terhadap kebebasan sivil serta prinsip kedaulatan undang-undang.
“Tindakan sedemikian turut memberi gambaran negatif terhadap tahap amalan demokrasi negara,” katanya.
Sehubungan itu, PPMM menuntut semua individu yang ditahan dibebaskan segera tanpa sebarang syarat.
PPMM juga menggesa polis supaya lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan dan tidak menggunakan undang-undang sebagai alasan untuk menyekat suara rakyat.
“Penguatkuasaan perlu selari dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia, bukan bersifat menekan,” tegas mereka.
PPMM turut menggesa kerajaan memastikan agensi penguatkuasaan kekal bebas dan tidak dipengaruhi kepentingan politik.
”Instuitusi penguatkuasaan tidak boleh digunakan sebagai alat menekan suara rakyat yang sah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, PPMM memaklumkan akan terus memantau kes berkenaan serta bersedia menyalurkan bantuan guaman kepada mana-mana pihak terjejas.
“Demokrasi tidak boleh berkembang jika rakyat takut menggunakan hak mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment