KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh menegaskan pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak menceroboh tanah, bukannya menahan peserta perhimpunan aman yang mempertahankan hak mereka.
Beliau berkata, hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar disekat melalui tindakan penahanan atau pendakwaan.
“Kami difahamkan beberapa orang rakyat Malaysia telah ditahan malam semalam ketika berlangsungnya himpunan aman di hadapan Sogo dan mereka ini akan didakwa di mahkamah pada bulan hadapan.
“Ini menimbulkan persoalan besar. Atas dasar apa mereka ditahan sedangkan mereka hanya menggunakan hak yang dijamin undang-undang?” katanya di laman sosial beliau sebentar tadi.
Menurutnya, tindakan tersebut boleh memberi gambaran bahawa hak rakyat semakin disempitkan dan disekat menggunakan kuasa.
Akmal berkata, kerajaan hari ini sepatutnya mempertahankan kebebasan berhimpun seperti yang pernah diperjuangkan ketika berada di pihak pembangkang sebelum ini.
“Dulu mereka lantang menuntut hak rakyat untuk berhimpun. Tetapi apabila sudah memerintah, hak itu pula dipertikaikan dan rakyat ditakutkan dengan kuasa.
“Sepatutnya hak ini terus dipertahankan, bukan digunakan untuk menekan rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Pemuda UMNO akan menyediakan khidmat guaman percuma kepada individu yang bakal didakwa berkaitan perhimpunan tersebut.
“Kami menawarkan perkhidmatan peguam Pemuda UMNO secara percuma kepada mereka yang terlibat. Jangan takut dan jangan risau.
“Mereka yang akan didakwa boleh hubungi saya atau pihak Pemuda UMNO untuk kita sama-sama bantu di mahkamah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keutamaan penguatkuasaan undang-undang yang disifatkan lebih tertumpu kepada peserta himpunan berbanding pihak yang didakwa menceroboh tanah.
“Sepatutnya polis tahan orang yang menceroboh tanah, bukan tahan orang yang mempertahankan pencerobohan.
“Kenapa yang mempertahankan hak dan kawasan mereka pula dikenakan tindakan?” soalnya.
Akmal berkata, pendekatan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan.
Menurutnya, tindakan terhadap pencerobohan tanah perlu dilaksanakan secara adil dan tegas tanpa mengira pihak, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Undang-undang mesti ditegakkan secara adil. Jangan sampai rakyat melihat seolah-olah mereka yang mempertahankan hak pula dihukum,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan Pemuda UMNO akan terus berdiri bersama rakyat dalam mempertahankan kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman.
“Ini adalah hak yang perlu kita pertahankan bersama. Kita akan lawan melalui saluran undang-undang sehingga ke peringkat akhir,” katanya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment