NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sultan Selangor titah halang program ‘Glamping with Pride’ di Hulu Langat



  • Berikutan pendirian tegas Sultan Selangor, MAIS dan Mufti Selangor turut menggesa PDRM dan PBT agar menghalang serta tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program terbabit dan program seumpamanya di Selangor.
  • “DYMM Sultan Selangor telah menitahkan Pengerusi MAIS dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan LGBT ini,” menurut kenyataan tersebut.

SHAH ALAM — DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negeri itu.

Menurut kenyataan media, titah tersebut disampaikan selepas Baginda memanggil Pengerusi MAIS dan Mufti Selangor menghadap di Istana Bukit Kayangan bagi menyatakan pendirian tegas Baginda berhubung penganjuran program “Glamping with Pride” yang dikaitkan dengan komuniti LGBT, yang didakwa akan diadakan pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, Selangor.

“DYMM Sultan Selangor telah menitahkan Pengerusi MAIS dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan LGBT ini,” menurut kenyataan tersebut.

Baginda turut menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang bentuk aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam Negeri Selangor, kerana perbuatan itu dikaitkan dengan pelanggaran fitrah dan ajaran Islam.

Kenyataan itu menjelaskan, walaupun perbuatan tersebut dianggap melibatkan dosa individu dengan Allah SWT, namun ia boleh mengundang kemurkaan serta laknat Allah SWT ke atas negeri sekiranya budaya tersebut dinormalisasikan melalui penganjuran program atau promosi terbuka.

Sultan Selangor turut menegaskan Baginda tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT di mana-mana daerah di Selangor.

Selain itu, Baginda juga tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan atau NGO yang berkaitan dengan LGBT di negeri ini.

Selaras dengan titah Baginda, MAIS dan Mufti Selangor menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk aktiviti yang menjurus kepada sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT, sambil menegaskan bahawa Islam mengharamkan amalan tersebut yang disamakan dengan perbuatan kaum Nabi Luth A.S.

MAIS turut menegaskan bahawa usaha mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl), selain berpotensi mencetus normalisasi yang boleh mengancam akidah umat Islam.

Berikutan pendirian tegas Sultan Selangor, MAIS dan Mufti Selangor turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar menghalang serta tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program terbabit dan program seumpamanya di Selangor.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM juga diminta menjalankan pemantauan rapi serta mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan, sebagaimana yang dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor.

Kenyataan itu turut menuntut komitmen semua pihak untuk memelihara kesucian agama Islam dan memastikan Negeri Selangor kekal harmoni serta bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo