Penguatkuasaan akta berkenaan menumpukan tanggungjawab sepenuhnya kepada platform dan penyedia perkhidmatan berlesen, yang kini diwajibkan mengambil tindakan proaktif dalam menangani kandungan berbahaya, berisiko dan memudaratkan di platform masing-masing.
SKMM menegaskan bahawa ONSA tidak terpakai kepada pengguna individu, sebaliknya mensasarkan penyedia perkhidmatan digital dan platform media sosial yang beroperasi di Malaysia.
Menurut SKMM, selaras dengan pelaksanaan akta ini, peruntukan “deeming” turut dikuatkuasakan, yang menjadikan semua platform media sosial dengan lapan juta pengguna dan ke atas secara automatik tertakluk di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Langkah tersebut diambil berikutan sebelum ini terdapat beberapa platform media sosial yang masih gagal mendaftar serta mendapatkan lesen operasi di Malaysia, selain tidak sepenuhnya mematuhi peruntukan undang-undang tempatan yang ditetapkan.
“Penguatkuasaan ini bertujuan memastikan penyedia platform memikul tanggungjawab sewajarnya dalam mengawal kandungan, selaras dengan keperluan keselamatan awam dan perlindungan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan ONSA dijangka menjadi titik penting dalam pembentukan ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika, khususnya dalam menangani isu kandungan berbahaya, gangguan siber dan ancaman terhadap kanak-kanak di ruang maya.
SKMM turut menyatakan harapan agar semua pihak berkepentingan dapat bekerjasama memastikan persekitaran digital negara terus kekal sihat dan selamat seiring perkembangan pesat teknologi komunikasi.

No comments
Post a Comment