BANGI, 3 SYAABAN – Datuk Seri Rafizi Ramli berkongsi kebimbangan ramai aktivis reformasi yang beranggapan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan ‘mati’ selepas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Bekas Timbalan Presiden PKR berkata, parti itu ketika ini dinilai seolah-olah hanya kenderaan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Saya jumpa kawan-kawan lama PKR minggu lepas. Orang yang masuk politik masa reformasi belum popular, masa kena pukul, masuk lokap, ceramah buat di rumah sendiri. Bila dengar cerita mereka, sebenarnya selain daripada mereka nak tengok PKR jadi kerajaan, perubahan berlaku.
“Satu perkara yang cukup penting kepada mereka juga ialah kelangsungan parti. Sebab banyak yang masuk PKR adalah reformis. Reformis bila kita sebut maksudnya ialah orang yang tidak berparti sebelum 1998, jadi mereka menyahut cabaran keluar dari kepompong selesa mereka.
“Daripada sebelum itu dia tak ambil tahu pasal politik. Tiba-tiba mereka menjadi pejuang politik. Itu maksud reformis dalam PKR,” katanya dalam hantaran Facebook.
Menurut Ahli Parlimen Pandan, sekali pun menonjolkan Anwar merupakan satu strategi politik, perlu ada keseimbangan kepimpinan dalam PKR bagi memastikan kelangsungan parti itu pada masa depan.
“Sebenarnya dia nak kena imbangkanlah kalau apa pun itu strategi iaitu mengetengahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.
“Jangan sampai orang melihat PKR hanyalah untuk Anwar Ibrahim kerana selepas itu Anwar Ibrahim tak boleh jadi Perdana Menteri dah.
“Kalau menang pun second term, by the time (penggal kedua, ketika itu) Datuk Seri Anwar habis second term, dia dah 85 tahun,” katanya.
Sehubungan itu Rafizi menyarankan PKR menyediakan pelapis telus dan bukan pelapis yang memuji melambung Datuk Seri Anwar seperti sekarang.
“Jadi kalau tidak disediakan pelapis, dan pelapis itu dilihat semata-mata yang ada sekarang ini untuk melambung, memuji dan membontoti Anwar, akhirnya PKR akan mati dengan tiadanya Anwar.
“Itu yang saya ingat mungkin sukar diungkapkan oleh orang yang lama dalam perjuangan reformasi ini, tetapi itu juga adalah soalan besar kepada ada apa dengan PKR sekarang, sebab rakyat nak tengok apa PKR selepas Anwar,” katanya. –
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment