BANGI, 22 REJAB – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendakwa persepsi rakyat terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam memerangi rasuah semakin merosot.
Menurut beliau, sebelum ini hanya sebilangan kecil rakyat bimbang terhadap gejala rasuah di negara ini, namun selepas lebih dua tahun, kebimbangan itu meningkat berkali ganda.
Katanya, keadaan itu bukan kerana rakyat tiba-tiba menjadi sensitif, sebaliknya kerana mereka mula melihat corak yang berulang apabila kes-kes besar didakwa, namun kemudiannya senyap, selain ada yang berakhir dengan keputusan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) dan ada yang akhirnya dilepaskan terus.
“Bila corak itu berulang, pengumuman macam had tempoh PM (Perdana Menteri), FOI (Kebebasan Maklumat), Ombudsman (pengurusan aduan awam) jadi nipis kesannya. Rakyat akan cakap ini semua rundingan dalam kerajaan.
“Satu pihak dapat pengumuman. Satu pihak dapat kes selesai. Selagi bahagian paling asas itu tak berubah, iaitu penguatkuasaan yang benar benar bebas dan konsisten, angka makro susah nak jadi keyakinan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, keadaan di atas kertas kelihatan baik dengan kemasukan pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan mata wang.
Bagaimanapun, katanya rakyat di bawah tidak bersorak kerana ramai tidak merasai perkara tersebut dalam kehidupan harian, sekali gus mudah menganggap semua itu hanyalah politik.
Sehubungan itu, katanya, apabila Kerajaan Reformasi mahu memilih reformasi yang paling penting, pemilihan perlu dibuat berdasarkan perkara yang paling utama bagi rakyat.
“Bukan yang sedap atas kertas. Bukan pengumuman yang nampak canggih. Yang paling atas ialah kebebasan institusi penguatkuasaan.
“Orang nak tengok lantikan betul. Orang nak tengok pendakwaan bebas. Orang nak tengok keberanian mendakwa dan memenjarakan pimpinan besar,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment