- Profesor Perubatan Virologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya, Prof Dr Lam Sai Kit menegaskan bahawa pendekatan penternakan moden dan berpusat mampu mengurangkan risiko wabak penyakit haiwan serta melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.
- “Penternakan babi berpusat memberi kelebihan besar dari sudut biosekuriti terkawal, rawatan sisa yang piawai, pengawasan veterinar yang sistematik serta keupayaan tindak balas pantas sekiranya berlaku wabak, berbanding ladang berselerak yang sukar diselaras dan dipantau,” kata Dr Lam kepada media CodeBlue.
KUALA LUMPUR — Pakar virologi terkemuka, Prof Dr Lam Sai Kit, menyatakan sokongan terhadap projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor, sambil menegaskan bahawa pendekatan penternakan moden dan berpusat mampu mengurangkan risiko wabak penyakit haiwan serta melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.
Profesor Perubatan Virologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya itu berkata, Malaysia sememangnya sedang menggalakkan peralihan kepada modern pig farming (MPF) dan kawasan penternakan babi (PFA) yang menggunakan sistem tertutup, rawatan sisa sifar pelepasan, pemantauan veterinar berpusat serta penzonan jauh daripada kawasan perumahan dan habitat hidupan liar, walaupun pelaksanaannya masih tidak sekata antara negeri.
“Penternakan babi berpusat memberi kelebihan besar dari sudut biosekuriti terkawal, rawatan sisa yang piawai, pengawasan veterinar yang sistematik serta keupayaan tindak balas pantas sekiranya berlaku wabak, berbanding ladang berselerak yang sukar diselaras dan dipantau,” kata Dr Lam kepada mediaCodeBlue.
Beliau mengimbas wabak virus Nipah pada 1998–1999, ketika mengetuai pasukan penyiasatan Universiti Malaya yang menemui virus tersebut, yang mengakibatkan lebih sejuta babi dilupuskan dan 109 kematian manusia akibat ensefalitis virus.
Katanya, penularan ketika itu berpunca daripada ladang kecil dan sederhana yang terbuka, berhampiran kebun buah serta habitat kelawar, selain kelemahan kawalan pergerakan dan pengawasan penyakit.
“Virus Nipah bukanlah penyakit babi, sebaliknya virus bawaan kelawar yang menggunakan babi sebagai ‘pembawa’ dalam wabak lalu,” jelas beliau.
Tegasnya, ladang moden yang tertutup, kalis kelawar dan dipantau rapi mampu mengurangkan risiko penularan zoonotik, malah saiz ladang yang besar tidak semestinya membawa wabak lebih besar kerana ladang berpusat lebih mudah dikawal dan diasingkan.
Beliau berkata model Bukit Tagar merangkumi infrastruktur biosekuriti bersepadu seperti zon pengasingan haiwan baharu dan sakit, makmal berpusat untuk saringan rutin, perkongsian data masa nyata serta sistem pelaporan dan pengesanan ternakan yang lebih telus, sekali gus menghadkan interaksi dengan hidupan liar dan membolehkan pengesanan awal penyakit.
Selain risiko penyakit zoonotik, Dr Lam menekankan bahawa penternakan babi sering dikaitkan dengan isu bukan zoonotik seperti pencemaran air sisa, bau, kualiti udara serta kawalan vektor.
Menurutnya, pemusatan ladang dapat mengurangkan aliran sisa ke sungai dan air bawah tanah, menurunkan pelepasan bau, memperbaiki kawalan lalat dan tikus serta memastikan zon penampan dan pemantauan air yang lebih berkesan.
Mengulas wabak demam babi Afrika (ASF) di Selangor dan Pulau Pinang tahun lalu, Dr Lam berkata model berpusat seperti Bukit Tagar membolehkan kawalan akses lebih ketat, penjarakan zon yang terancang, protokol biosekuriti seragam serta pemantauan bersepadu, sekali gus menyokong pendekatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) “kesan satu, lupus semua” bagi membendung penularan dengan pantas.
Walaupun mengakui kos peralihan kepada ladang berpusat menjadi cabaran besar khususnya kepada penternak kecil dan sederhana, Dr Lam menegaskan bahawa pemusatan adalah laluan perlu ke arah penternakan babi yang mampan dan selamat.
Beliau menekankan keperluan sokongan dasar dan kewangan berterusan serta libat urus menyeluruh bersama pihak berkepentingan, memandangkan ribuan kehidupan dan mata pencarian bergantung kepada industri penternakan babi di negara ini.-The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment