NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Amanah Johor gila kuasa, kata Setiausaha UMNO Johor



JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) yang terus menuntut pembahagian kawasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka disifatkan sebagai gilakan kerusi dan kuasa.

Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Amanah yang terus menerus membangkitkan perkara tersebut jelas memperlihatkan fokus dan agenda sebenar mereka bukan khidmat kepada rakyat, tetapi obsesi terhadap kuasa dan kerusi.

Sejak tahun lalu hingga ke hari ini, isu yang sama terus diulang. Skripnya tidak berubah, tuntut kerusi secara terbuka, tekan rakan dalam Kerajaan Perpaduan melalui media, kemudian disusuli ugutan pertandingan tiga penjuru.

“Politik sempit ini mencerminkan sikap gila kuasa yang akhirnya merugikan rakyat Johor,” ujar Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau di sini hari ini.

Beliau berkata, hakikatnya, perkara itu bukan isu baharu kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pimpinan Amanah Johor dengan jelas dan secara terbuka menyatakan bahawa prinsip penyandang tidak terpakai di Johor.

Jelasnya, ini kerana Pakatan Harapan (PH) kata mereka dianggap pembangkang selain menyuarakan rasa kurang senang apabila tiada seorang pun Exco Johor dilantik daripada kalangan mereka.

Dakwanya, kenyataan itu membuktikan pendirian Amanah sejak awal lagi berasaskan mengejar jawatan semata-mata, bukan berpaksikan mandat rakyat.

Beliau menegaskan, agihan kerusi PRN bukan soal desakan awam atau tekanan politik, sebaliknya keputusan kepimpinan tertinggi di peringkat Pusat dan negeri.

Keputusan tersebut kata Abdul Halem, dibuat secara berhemah dan berlandaskan kepentingan rakyat Johor.

“Mereka paling lantang menuntut kerusi tetapi khidmat kepada rakyat dipandang remeh. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan harta pusaka mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ia tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar politik secara terbuka, apatah lagi dengan ugutan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Realitinya kata beliau, Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini atas mandat jelas daripada rakyat dalam PRN lalu.

Keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan kestabilan politik, kesinambungan dasar dan keberkesanan pentadbiran agar fokus kepada ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan, katanya.

“Prestasi serta penerimaan rakyat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada mesti menjadi asas utama dalam sebarang pertimbangan.

“Rakyat Johor menilai wakil rakyat berdasarkan prestasi kerja mereka termasuk kekerapan turun padang, menyelesaikan masalah dan menjaga kebajikan kawasan,” katanya.

Menurutnya, ugutan pertandingan tiga penjuru bukan tanda keberanian politik, sebaliknya mencerminkan kegagalan memahami kehendak rakyat.

Rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan fokus bekerja untuk mereka, bukan kerajaan yang sibuk dengan politik tuntutan kerusi.

“Nasihat kami jelas dan tegas kepada Parti Amanah, fokuslah kepada kerja dan khidmat kepada rakyat, bukan perebutan kuasa.

“Kerajaan Negeri Johor sedang bekerja dan terus berusaha membela nasib rakyat. Jangan menggugat kestabilan ini hanya kerana gilakan kerusi dan kuasa semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad meminta supaya BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor.

Sambil menegaskan keputusan pucuk pimpinan Amanah bergantung kepada pendirian UMNO dan BN, bekas Menteri Wilayah itu menyatakan agihan kerusi berkenaan selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh sebelum ini mengesahkan PRN Melaka diadakan pada tahun ini, sementara PRN Johor pula perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2027 mengambil tempoh permulaan sidang DUN negeri itu yang bermula pada April 2022.

Kedudukan semasa kerusi DUN di Melaka menyaksikan 21 DUN dimiliki BN, sementara selebihnya PH dan Perikatan Nasional (PN).

Bagi DUN Johor pula, BN menguasainya di 40 kerusi daripada 56 DUN yang ada pada PRN 2022 lalu.- MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo