NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Negeri Selangor digesa pinda Enakmen Penternakan Babi selaras titah Sultan



  • ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, titah Sultan Selangor bertarikh 12 Januari 2026 merupakan satu ketetapan dasar yang jelas, berprinsip dan berpaksikan kepentingan rakyat, keharmonian sosial serta kelestarian alam sekitar.
  • Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri meminda enakmen itu bagi memasukkan larangan berkanun terhadap penternakan babi di mana-mana lokasi kecuali Bukit Tagar; had pengeluaran berdasarkan keperluan rakyat bukan Islam Selangor sahaja; serta larangan mutlak penggunaan dana awam atau pelaburan kerajaan negeri.
  • Katanya, menjunjung titah Raja tidak memadai dengan sokongan secara lisan semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui penggubalan undang-undang yang mengikat semua pihak.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor digesa supaya segera meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010 bagi memastikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di negeri ini mempunyai kekuatan undang-undang serta dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, titah Sultan Selangor bertarikh 12 Januari 2026 merupakan satu ketetapan dasar yang jelas, berprinsip dan berpaksikan kepentingan rakyat, keharmonian sosial serta kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, titah tersebut menetapkan tiga perkara utama iaitu tiada lagi operasi penternakan babi di Tanjong Sepat dengan operasi sedia ada dipindahkan ke Bukit Tagar; skala pengeluaran dihadkan kepada keperluan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja tanpa melibatkan eksport; serta larangan penyaluran dana awam atau pelaburan kerajaan negeri bagi operasi penternakan babi.

Bagaimanapun, Nurul Syazwani menegaskan bahawa semua ketetapan tersebut belum dimasukkan ke dalam peruntukan undang-undang negeri.

“Perlu ditegaskan bahawa kesemua ketetapan ini belum terkandung di dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010 Negeri Selangor.

“Enakmen sedia ada hanya mengawal aspek teknikal seperti lesen, kebersihan dan operasi, tetapi tidak mengikat kerajaan atau pihak berkuasa tempatan untuk mematuhi zon larangan, had pengeluaran atau larangan dana awam seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional berkata keadaan itu mewujudkan jurang serius antara titah diraja sebagai dasar dengan undang-undang bertulis sebagai alat penguatkuasaan, sekali gus membuka ruang kepada salah tafsir dan kelewatan pelaksanaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri meminda enakmen berkenaan bagi memasukkan larangan berkanun terhadap penternakan babi di mana-mana lokasi kecuali Bukit Tagar; had pengeluaran berdasarkan keperluan rakyat bukan Islam Selangor sahaja; serta larangan mutlak penggunaan dana awam atau pelaburan kerajaan negeri.

“Tanpa pindaan ini, titah DYMM Tuanku berisiko menjadi sekadar kenyataan dasar tanpa kekuatan undang-undang, dan boleh diputar belit, dilengah-lengahkan atau diketepikan oleh pihak eksekutif,” tegasnya.

Beliau menambah, menjunjung titah Raja tidak memadai dengan sokongan secara lisan semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui penggubalan undang-undang yang mengikat semua pihak.

“Itulah makna sebenar menjunjung Raja dan memelihara kedaulatan undang-undang,” ujarnya. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo