KUALA LUMPUR – Masih belum terlambat untuk parti itu mempertimbangkan kedudukan di dalam Kerajaan Perpaduan, demikian menurut pandangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana parti itu akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Namun, ujar beliau, masih ada ruang untuk keputusan itu direnung semula secara matang bagi menilai sama ada ia selari dengan suara dan hasrat akar umbi UMNO, serta rakyat kebanyakan.
Selain itu, tambahnya, kepimpinan UMNO juga perlu jujur dalam menilai parti itu sebenarnya berdepan krisis kepercayaan rakyat susulan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, iaitu hakikat yang tidak boleh disembunyikan.
“Jika kita benar-benar mahu kembalikan kepercayaan rakyat di bawah, maka hari ini, di dalam perhimpunan ini, kita wajib bercakap benar, jangan menipu, usulkan apa yang perlu kita lakukan seperti dimahukan suara akar umbi.
“Cakaplah dalam bahasa dan suara rakyat, walau macam mana pahit sekali pun, jika itu adalah kebenaran, makan wajib kita telan.
Jika kita terus menafikan suara rakyat, kita tidak selamatkan UMNO, sebaliknya kita bunuh UMNO dari dalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri sekiranya maruah agama, bangsa dan institusi negara dipijak, meskipun UMNO kini bersama DAP dalam kerajaan perpaduan.
Berterus terang DAP adalah musuh nyata, beliau berkata, parti itu sering dilihat mempertahankan pihak-pihak yang menyentuh isu sensitif melibatkan Melayu dan Islam, seperti dalam isu kalimah Allah pada stoking; status halal; bendera Malaysia diterbalikkan, serta insiden minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan.
“Jangan ajar kami tentang sopan ketika kamu sendiri tidak ada kesopanan. Jangan tuduh kami rasis kerana mempertahankan Perlembagaan. Jika garis merah dilanggar, Pemuda UMNO akan lawan habis-habisan,” katanya.
Tambahnya, dalam politik, ada garis yang boleh dilintas dan ada garis yang tidak boleh sama sekali dikompromi yang mana sekrianya garis itu dilanggar secara terang-terangan, Pemuda UMNO akan bangkit bertindak dan mempertahankannya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment