NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Jika semua diam, itu pengkhianat” – Ahli ekonomi desak telus isu perjanjian kontroversi



  • Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, Kerajaan Madani kerap membawa naratif transparensi dan tadbir urus baik, namun isu sebesar perjanjian yang didakwa menyentuh kepentingan strategik negara tidak boleh diluluskan tanpa rakyat mengetahui perbincangan sebenar, kos serta manfaatnya.
  • Dalam nada keras, Dr Muhammed mendakwa jika tiada seorang pun dalam Kabinet menyuarakan bantahan atau penilaian kritikal terhadap perjanjian tersebut, maka ia boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada negara.
  • “Kalau seorang pun tidak meluahkan pandangan mereka… bagi saya, mungkin agak keras, tapi semua itu adalah pengkhianat yang menjual negara,” katanya.

KUALA LUMPUR — Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid mendakwa Malaysia sedang berdepan risiko “penjualan kedaulatan negara” susulan satu perjanjian yang didakwa diputuskan di peringkat kerajaan, sambil menggesa minit mesyuarat Jemaah Menteri didedahkan kepada umum sebagai bukti ketelusan.

Beliau berkata, Kerajaan Madani kerap membawa naratif transparensi dan tadbir urus baik, namun isu sebesar perjanjian yang didakwa menyentuh kepentingan strategik negara tidak boleh diluluskan tanpa rakyat mengetahui perbincangan sebenar, kos serta manfaatnya.

“Demi ketelusan, saya syorkan minit mesyuarat Kabinet… bila kertas ini dibentangkan, apa yang dibincangkan? Apa analisis kos-manfaatnya?” katanya dalam satu wawancara bersama media Ekonomi Rakyat.

Dr Muhammed turut mempersoalkan sama ada kerajaan telah mendapatkan dan menilai pandangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), kementerian berkaitan ekonomi serta pihak yang mengurus aspek pendigitalan dan keterjaminan makanan negara.

Antara yang disebut beliau termasuk pandangan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Kementerian Kewangan, serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, khususnya berkaitan isu kawal selia termasuk lesen import sektor pertanian.

Beliau juga menyebut isu agensi berkaitan makanan termasuk FAMA, selain menimbulkan persoalan tentang keselarasan dasar melibatkan pelbagai institusi kerajaan yang terkait dengan kepentingan awam.

Dalam nada keras, Dr Muhammed mendakwa jika tiada seorang pun dalam Kabinet menyuarakan bantahan atau penilaian kritikal terhadap perjanjian tersebut, maka ia boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada negara.

“Kalau seorang pun tidak meluahkan pandangan mereka… bagi saya, mungkin agak keras, tapi semua itu adalah pengkhianat yang menjual negara,” katanya.

Mengulas dari sudut sejarah, Dr Muhammed membandingkan situasi semasa dengan dua episod besar yang pernah menyentuh kedaulatan Tanah Melayu, Perjanjian Pangkor (1874) yang membawa pengaruh pentadbiran British di Perak, dan Malayan Union (1946) yang ditentang hebat oleh orang Melayu sehingga mencetuskan kebangkitan politik besar termasuk peranan tokoh seperti Datuk Onn Jaafar.

Bagaimanapun, beliau mendakwa perjanjian yang dipertikaikan kali ini adalah lebih buruk, merujuk kepada pandangan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang menyifatkannya sebagai antara perjanjian paling teruk.

“Ini perjanjian paling teruk… lebih teruk daripada Perjanjian Pangkor. Daulat negara dijual,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu tampil dengan pendedahan yang menyeluruh termasuk kandungan utama perjanjian, asas pertimbangan, analisis risiko, serta pendirian menteri-menteri utama bagi memastikan rakyat tidak dibiarkan membuat kesimpulan berdasarkan khabar angin atau serpihan maklumat.-The Merdeka Times






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo