NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wujud dominasi satu parti di ‘jantung’ negara




KUALA LUMPUR:
 PAS menyuarakan kebimbangan serius terhadap rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam, khususnya melibatkan pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri bagi portfolio Wilayah Persekutuan serta pengekalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

​Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Hannah Yeoh dari DAP dan Lo Su Fui dari GRS menerajui Wilayah Persekutuan, ditambah dengan keberadaan seorang lagi pemimpin DAP di KPKT, memperlihatkan pemusatan kuasa di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik yang sama.

​Tegas beliau, Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sekadar wilayah biasa, sebaliknya ia merupakan ‘jantung’ politik dan pentadbiran negara.

​“Justeru, pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar.

​“Ia berkait isu-isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam satu kenyataan, hari ini.

​Menurut Takiyuddin, keadaan ini menimbulkan keresahan bahawa wujud percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat-pusat bandar utama.

​Jelasnya, tindakan ini dilihat bertujuan membolehkan sebuah parti mencorak dasar perbandaran, penggunaan tanah dan perumahan tanpa proses semak imbang yang telus.

​“Pemusatan kuasa sedemikian sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam yang serius, terutama dengan kehadiran inisiatif undang-undang kontroversial seperti cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

​“Ia dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk risiko kehilangan hak milik mereka,” ujarnya lagi.

​Dalam pada itu, PAS turut mengambil maklum persepsi meluas bahawa pelantikan tersebut bukan berlandaskan merit, sebaliknya akibat tekanan dan tawar-menawar politik.

​Takiyuddin berkata, wujud spekulasi ia berkait rapat dengan ‘kata dua’ oleh DAP, termasuk ancaman menarik diri daripada kerajaan sekiranya tuntutan seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak dipenuhi.

​“PAS beranggapan sekiranya jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan, maka jelas ia merupakan hakisan serius terhadap institusi kerajaan berprinsip.

​Beliau yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, rombakan Kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan, bukan menyuburkan keraguan; menyembuh luka dan bukan menggaraminya.

​“Tanpa justifikasi meyakinkan, ia hanya memperkuatkan tanggapan bahawa kedudukan dalam Kabinet telah diagih-agihkan mengikut selera dan nafsu politik, bukan kepentingan rakyat dan negara,” tegasnya.

​PAS turut mempersoalkan kredibiliti beberapa pelantikan lain melibatkan portfolio penting seperti pendidikan dan hal ehwal Islam yang dilihat meragukan dari sudut pengalaman serta kompetensi. – HARAKAHDAILY 17/12/2025









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo