PRN Sabah tidak menjatuhkan kerajaan pusat, namun ia mengubah struktur politik negara. Keputusannya tidak dramatik, tetapi dalam. Ia menunjukkan bahawa Sabah mampu menghukum parti pusat tanpa menjejaskan kestabilan nasional. Ini satu perubahan psikologi penting. Sabah memisahkan apa yang pernah dianggap satu entiti: kerajaan pusat dan parti pusat. Perbezaan itu menjadi pemecah pola lama, dan kini laluan ke PRU17 tidak lagi bergantung kepada satu blok kuasa, tetapi kepada tiga kerajaan politik yang bergerak selari.
Kerajaan perpaduan kekal pusat kepada sistem. GRS masih bersama Putrajaya. GPS tidak berganjak. UMNO belum mempunyai rumah politik lain. Namun kestabilan ini datang bersama harga; harga yang semakin naik. Sabah dan Sarawak kini memahami kedudukan mereka sebagai blok autonomi yang mempunyai masa, leverage dan tuntutan yang konsisten. Mereka bergerak sebagai kerajaan yang menjaga kepentingan wilayah, bukan sebagai satelit kepada pusat.
PH pula lemah di Sabah bukan kerana Putrajaya dibenci, tetapi kerana parti pusat dilihat jauh daripada realiti negeri. Pengundi kembali kepada isu yang dekat dengan hidup mereka: jalan, klinik, peluang kerja dan autonomi. GRS membaca permintaan ini dan mengekalkan kedudukan mereka kerana pengundi melihat mereka sebagai suara negeri dalam sistem yang didominasi pusat. Sabah menghukum parti, bukan kerajaan.
Implikasinya kepada Putrajaya besar. MA63, tuntutan hasil 40 peratus dan agihan kuasa kementerian bukan lagi sekadar perbincangan politik. Ia menyentuh belanjawan negara, ruang fiskal dan keupayaan pusat melakukan reformasi. Jika tuntutan itu dipenuhi secara literal, pusat kehilangan kapasiti fiskal pada ketika negara memerlukan pembaharuan subsidi, peningkatan hasil dan pemulihan ringgit. Putrajaya perlu mengurus dua front serentak: mengimbangi tuntutan Borneo dan mengekang perluasan PN di Semenanjung.
Dalam Semenanjung, blok PAS–PN membentuk kerajaan ketiga dalam gambaran Three Kingdoms ini. Mereka tidak lagi menguasai wilayah tertentu sahaja. Mereka menguasai koridor pengundi Melayu yang merentasi Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan melimpah ke Perak utara, Pahang luar bandar, Selangor pinggir bandar serta kawasan FELDA di Johor. Ia bukan penguasaan geografi. Ia penguasaan demografi. Dan demografi itu membina momentum yang semakin besar setiap kali pusat gagal menyelesaikan tekanan kos sara hidup.
Di sinilah Sabah memberi kesan tidak langsung. PN menggunakan kekalahan PH untuk membentuk naratif bahawa mood rakyat sudah berubah, walaupun punca sebenar di Sabah berkait isu tempatan. Namun naratif itu cukup untuk mencalarkan imej PH di kalangan pengundi Melayu. Calar itu berlaku di Semenanjung, bukan di Borneo.
Dalam PN sendiri, imbangan dalaman berubah. Bersatu semakin lemah. PAS pula semakin dominan dengan empat negeri, jentera akar umbi dan kemenangan simbolik seperti Karambunai. Kemenangan itu tidak berlaku di kubu konservatif, tetapi di kerusi campuran sebelas penjuru. Ia menunjukkan bahawa PAS boleh menang di luar zon asal jika calon dan jentera betul. Dan setiap kali PAS membuktikan kemampuan seperti ini, logik untuk mereka mengetuai PN semakin kuat.
PAS sedar dominasi penuh membawa risiko kehilangan pengundi bandar dan campuran. Namun mereka juga sedar mereka adalah tulang belakang sebenar PN. PN kini berada di persimpangan: sama ada dipimpin oleh kekuatan sebenar (PAS) atau meneruskan struktur lama dengan Bersatu sebagai wajah depan. Jika PN berubah menjadi gabungan yang dipimpin PAS secara formal, itu akan memberi saingan kuat kepada perebutan kuasa Semenanjung.
Namun, ada satu blind spot ekonomi muncul. Pelabur membaca PRN Sabah bukan sekadar isu politik, tetapi sebagai tanda bahawa hubungan fiskal pusat–Borneo bakal berubah. Jika pusat terpaksa melepaskan lebih hasil kepada Sabah dan Sarawak, ia mengecilkan kemampuan kerajaan melaksanakan reformasi fiskal dan mengurus defisit. Dalam masa yang sama, kebangkitan PN dipimpin PAS menimbulkan persoalan mengenai dasar masa depan: sejauh mana ia mesra pasaran, sejauh mana ia selari dengan keperluan pelaburan asing, dan bagaimana ia mempengaruhi kestabilan ringgit. Pelabur tidak semestinya bimbang tentang pertukaran kerajaan, tetapi mereka bimbang tentang ketidakpastian dasar.
Tambahan pula, saranan DAP agar PRU seterusnya diadakan serentak dengan pilihan raya negeri di Semenanjung membuka kemungkinan bahawa gelanggang nasional dibuka seawal 2026, bukan 2028. Jika cadangan ini diangkat, pusat akan berdepan tekanan mempercepat reformasi dan pada masa sama mengurus kestabilan politik yang belum pulih sepenuhnya. Ini menambah risiko kepada sentimen pasaran, kerana reformasi besar biasanya memerlukan mandat kukuh, bukan mandat yang terdedah kepada pertarungan awal.
Di tengah cabaran ini, pusat masih mempunyai ruang. Anwar masih memiliki kekuatan incumbency, kawalan fiskal, ruang dasar dan rakan kongsi yang tidak mahu PRU awal. Namun ruang itu mengecil dari bulan ke bulan. Untuk bertahan, pusat perlu menstabilkan UMNO di kerusi majoriti Melayu, memulihkan keyakinan bandar terhadap ekonomi, dan mempercepat tawaran konkrit kepada Sabah dan Sarawak dalam bentuk pelaksanaan yang boleh diukur. Sabah tidak menutup pintu kepada pusat. Sabah hanya menunjukkan arah baharu.
Malaysia kini berada dalam fasa Three Kingdoms. PH–UMNO memegang pusat. GRS–GPS menguasai Borneo. PAS–PN menguasai koridor Melayu. Tidak ada satu blok yang cukup kuat berdiri sendiri. Semua bergerak serentak. Semua menilai harga sokongan masing-masing. Sabah sudah bersuara. Kini pusat dan Semenanjung perlu membaca semula peta kuasa sebelum peta itu menentukan siapa yang layak memerintah selepas PRU17.
Sumber : FB Timmy Say

No comments
Post a Comment