NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH Perlis sokong kekalkan Kerajaan PN demi kestabilan negeri



KANGAR – Pakatan Harapan (PH) Perlis menyatakan sokongan agar kerajaan negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) dikekalkan sehingga tamat penggal bagi menjamin kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat negeri ini.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, gabungan itu menegaskan bahawa kerajaan negeri sedia ada terbentuk hasil mandat jelas rakyat menerusi proses demokrasi yang sah dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak.

“Mandat besar yang diberikan oleh rakyat ini wajib dipelihara. Ia bukan ruang untuk pergolakan dalaman atau percaturan kuasa yang hanya menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri,” menurut kenyataan itu.

Sokongan tersebut hadir di tengah-tengah kemelut politik yang melanda kerajaan negeri apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN Pas didakwa telah menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Difahamkan, pendirian itu dibuat selepas satu mesyuarat dalaman gabungan berkenaan diadakan pada malam Selasa, sekali gus menandakan perubahan nada berbanding kenyataan awal Pengerusinya, Noor Amin Ahmad, yang menyatakan kesediaan menghadapi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku.

PH Perlis turut menjelaskan bahawa keputusan menyokong kerajaan negeri sedia ada dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk memastikan keharmonian politik negeri terus terpelihara, selain menjaga kepentingan rakyat serta institusi diraja.

Menurutnya, kestabilan kerajaan merupakan keperluan utama bagi sebuah negeri kecil seperti Perlis, bukan sahaja untuk memastikan kelancaran pentadbiran, malah bagi menjimatkan kewangan kerajaan.

“Ia juga penting bagi mengelakkan pembaziran akibat ketidaktentuan politik serta tidak mengguris mandat rakyat yang telah diberikan secara sah,” ujarnya.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo